Malaysia Oversight

Naikkan Alligator Gar 11kg, Abu Rahim bawa pulang RM5,000

By Utusan in September 19, 2025 – Reading time 2 minute
alligator


KUALA LUMPUR:  Tasik Sri Rampai, Setapak semalam meriah apabila Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah (MAU) menganjurkan pertandingan memancing bertemakan Cabaran Joran Malaysiaku sempena Karnival 3M bersempena sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan semalam.

Pertandingan itu menarik penyertaan hampir 600 peserta dari pelbagai negeri termasuk Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan , menjadikannya antara acara komuniti paling mendapat sambutan tahun ini.

Pengerusi MAU, Isahak Othaman, berkata sambutan yang luar biasa itu mengatasi jangkaan pihak penganjur. Beliau menegaskan pertandingan tersebut akan dijadikan acara tahunan dengan pengisian lebih menarik pada masa hadapan.

Menurutnya, program itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi wadah merapatkan ukhuwah sesama masyarakat di samping menghidupkan peranan masjid sebagai pusat komuniti yang aktif dan terbuka kepada semua.

Acara berkenaan menyaksikan Abu Rahim Bahar, 59, dari Kuala Lumpur muncul juara selepas menaikkan ikan spesies Alligator Gar seberat 11.62 kilogram menggunakan umpan isi ayam. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

“Saya tidak sangka boleh menang kerana hanya menyertai pertandingan ini sekadar suka-suka. Hadiah kemenangan ini akan saya gunakan untuk keluarga dan aktiviti memancing,” katanya.

Naib juara dimenangi Jo Paidi dari Segambut dengan tangkapan ikan keli seberat 2.85 kilogram, manakala tempat ketiga milik Muhammad Nasib Mohd Eza, 30, dari Pelabuhan Klang yang menaikkan ikan keli seberat 1.435 kilogram.

Menariknya, pertandingan ini dianjurkan selepas lebih 13 tahun tiada acara besar diadakan di Tasik Sri Rampai. Rata-rata peserta berharap ia diteruskan sebagai usaha menghidupkan semula tasik berkenaan sebagai lokasi riadah masyarakat.

Selain itu, pertandingan kali ini turut bertujuan mengawal dan menaikkan spesies ikan larangan seperti peace cock, tilapia dan yang paling mengejutkan spesies asing Alligator Gar berjaya ditawan kaki pancing. Usaha sebegini harus diteruskan agar ekosistem tasik dapat dipulihkan sekali gus memberi ruang kepada spesies ikan tempatan terus membiak dengan sihat.

Sepanjang pertandingan, lebih 111 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan termasuk baung, lampam, ketutu, tilapia dan haruan. Kejayaan ini sekaligus memberi kesan positif terhadap keseimbangan ekosistem tasik.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran penduduk setempat serta pengunjung dari pelbagai latar belakang, sekali gus memperlihatkan semangat kekeluargaan, perpaduan dan kebersamaan masyarakat.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama MAIWP, DBKL, K2S, MAU serta beberapa agensi dan NGO tempatan. Pujian harus diberikan kepada para pemancing yang hadir kerana sumbangan mereka bukan sahaja memeriahkan pertandingan, tetapi juga membantu menjaga kelestarian Tasik Sri Rampai untuk generasi akan datang. – UTUSAN





Source link