KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abd. Aziz menjelaskan konsert Legenda Nada Murni yang bakap dipentaskan pada Disember ini tidak berkaitan dengan pertubuhan Al Arqam yang pernah memayungi mereka, satu masa dulu.
Malah kata Azadan, Nada Murni yang dahulunya turut dianggotai ahli kumpulan Hijjaz dan beberapa individu lain bergerak bebas dengan persembahan dan rakaman lagu selepas pertubuhan itu diharamkan pada tahun 1994.
“Saya tegaskan memang kami ini bekas pelajar Al-Arqam, tetapi kami tidak terlibat dengan aktiviti pertubuhan itu. Kami bergerak sendiri apabila Al Arqam diharamkan, membina jenama Rabbani dan Hijjaz.
“Kami berpecah pun bukan disebabkan konflik dalaman, tetapi kerana perubahan struktur.
“Ramai yang maklum perkara ini. Cuma Legenda Nada Murni ini nanti akan menjadi konsert yang sangat bermakna kerana menggabungkan semula kami, anggota asal Nada Murni selepas bertahun-tahun,” katanya.
Azadan berkata demikian ketika sidand media konsert itu, semalam.
Ujar Azadan lagi, makluman itu penting bagi mengelakkan sebarang keraguan walaupun ramai penggemar nasyid sudah kontemporari mengetahui pendirian mereka berhubung perkara tersebut.
Azadan dalam masa yang sama yakin persepsi masyarakat terhadap Nada Murni berubah apabila peminat lebih mengenali kumpulan itu dengan rangkaian lagu malar segar.
“Kami tidaklah risau sekiranya konsert ini dibayangi sejarah lampau. Masyarakat hari ini tidak lagi skeptical terhadap Nada Murni,” kongsinya.
Mengulas tentang konsert berkenaan, Azadan menjanjikan persembahan berkonsepkan perjalanan merentas masa, membawa penonton kembali ke era kegemilangan Nada Murni sekitar tahun 90-an.
“Kami akan persembahkan kira-kira 40 buah lagu, yang antaranya akan dipersembahkan secara medley,” jelasnya.
Konsert Legenda Nada Murni bakal dipentaskan di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 7 Disember ini.
Tiket berharga antara RM128 hingga RM258 boleh ditempah menerusi Ilasso Tickets bermula pada 26 September ini. – UTUSAN