Malaysia Oversight

Nabil Ahmad cuba hubungi Zizi Kirana, kapal sedang diawasi dron

By Utusan in September 24, 2025 – Reading time 2 minute
Nabil Ahmad cuba hubungi Zizi Kirana, kapal sedang diawasi dron


PETALING JAYA: Gusar dengan keadaan rakan selebriti, Zizi Kirana, yang kini dalam perjalanan menuju Gaza, pengacara dan penyampai radio, Nabil Ahmad cuba menghubunginya untuk bertanya keadaan terkini.

Panggilan telefon Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 41, bagaimanapun tidak berjawab memandangkan kapal yang dinaiki penyanyi ‘Eh’ itu sedang diawasi dron Israel.

“Kami ada cuba telefon Zizi pada jam 7.30 pagi tadi tapi tak dapat sebab dia sedang diawasi oleh dron jadi tak boleh ada sebarang komunikasi luar masuk atau keluar.

“Kami hanya dapat ‘voice note’ saja sekitar 6 pagi dan dia beritahu memang tak dapat nak berhubung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Nabil bagaimanapun percaya bahawa doa ialah senjata utama yang boleh dilakukan masyarakat agar pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) dilindungi hingga Gaza.

“Yang kita boleh buat adalah doakan sahabat-sahabat kita supaya mereka dapat sampai ke Gaza untuk misi mereka iaitu untuk menghulurkan bantuan.

“Dari apa yang kita tengok dan belajar, mereka ada niat yang hebat dan besar, mereka korbankan nyawa, masa dan harta ke jalan Allah untuk bantu saudara kita yang berada di sana.

“Sebagai kawan yang mengenali mereka sudah tentu kita nak mereka balik dengan selamat, mereka dapat menunaikan misi mereka dengan selamat dan kemudian dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.

Terdahulu menurut Zizi, sejak awal pagi tadi ada 15 dron dihantar pihak Zionis Israel untuk mengawasi mereka.

Dron tersebut menjatuhkan gas, serbuk seperti ‘gun powder’ ke atas beberapa kapal. Serta kedengaran letupan bunyi letupan dari pelbagai arah.

Kapal GSF yang kini berada di zon kuning dijangka tiba ke Gaza sekitar tujuh hari lagi. -UTUSAN





Source link