Harus diakui, dalam era media sosial kini, ia boleh menjadikan populariti mampu datang sekelip mata, tetapi dalam masa yang sama, boleh juga hilang secepat bayang.
Mungkin selebriti seperti Daiyan Trisha, merupakan satu contoh terbaik di mana keberadaannya dalam industri seni hiburan dilihat mampu relevan walaupun adakalanya terpaksa berhadapan dengan kritikan atau kecaman.
Perkara itu turut diakui empunya diri sendiri tatkala menerima Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) Ahad lalu.
Berkongsi mengenainya, kata Daiyan, bukan mudah untuknya mengekalkan soal relevan seputar sisi kerjaya seninya.
Apalagi, amat mustahil untuk kekal berjalan di landasannya tanpa terpalit dengan isu kontroversi atau apa sahaja yang dicungkil sebagai satu isu negatif.
Namun, sesukar apa pun, bagi Daiyan, seseorang selebriti atau anak seni itu harus terus berjalan dengan tabah dan cekal.
“Terima kasih andai ada yang anggap atau melihat saya sebagai satu figura yang relevan dalam industri. Apalagi menerusi kemenangan trofi itu di AMT, saya bersyukur kerana peminat masih meletakkan saya di hati mereka.
“Kalau ditanya tentang erti terhangat itu sendiri, ya tak dinafikan ia membawa konotasi relevan. Maknanya apa-apa yang kita buat masih lagi orang bercakap dan beri perhatian, walaupun kita tak sentiasa terpampang di televisyen.
“Saya anggap ia sesuatu yang positif sebab maknanya apa sahaja yang kita kongsikan itu ada makna, ada isi. Bukan sebab kontroversi.
“Tapi saya pun hairan juga. Kalau sebut pasal kontroversi, kadang-kadang isu itu berulang-ulang juga, pasal kahwinlah, bajulah, sampai saya pun tak tahu nak jawab apa lagi,” ujarnya sambil ketawa kecil.
Mengakui lumrah industri hiburan yang tidak lari daripada pelbagai tanggapan dan spekulasi, Daiyan berkata, dirinya sudah lali dengan situasi itu dan memilih untuk menapis setiap perkara yang datang.
“Memang macam saya cakap tadi, saya terima semua itu. Saya akan tengok yang mana baik, saya ambil. Yang mana buruk, saya tolak tepi.
“Sebab tak semua orang kat luar nak sokong kita, ada yang memang betul-betul nak membenci. Jadi kita kena bijak tapis,” jelasnya.
Ditanya sejauh mana dirinya mampu menerima kritikan, penyanyi lagu Penat dan My Home is In Your Arms itu mengakui, walaupun tampak tenang di mata umum, hakikatnya dia seorang yang sangat sensitif.
MANUSIA BIASA
Sengaja mengusik andai kata ada ketika dia pernah menangisi setiap perkara yang dilaluinya, kata Daiyan, dahulu mungkin dia seorang yang begitu.
“Saya ini sebenarnya sangat sensitif. Tapi sebab dah lama dalam industri, saya belajar untuk tolak tepi.
“Dulu kalau sedih saya menangis di rumah, sekarang mujurlah saya ada kucing untuk teman. Kalau sedih, saya peluk kucing-kucing saya,” katanya sambil tersenyum.
Sementara itu, mengajaknya berbicara lanjut mengenai kemenangannya di AMT, Daiyan yang turut membawa pulang trofi bagi kategori Selebriti Stailo Terhangat, terharu apabila dia dilihat sebagai antara artis berpengaruh masa kini.
Pun begitu, di sebalik kejayaan tersebut, Daiyan tidak terlepas daripada kecaman terutama berkaitan penampilannya yang sering dianggap seksi oleh sesetengah pihak.
“Saya bersyukur dan terharu, peminat faham personaliti saya bagaimana. Biarpun ada kontroversi, peminat selalu memberikan sokongan. Mereka memahami saya,” katanya.
Menjawab mengenai kecaman yang acap kali diterimanya di media sosial, pelakon filem Sumpahan Jerunei ini mengaku sudah terbiasa dan tidak mudah goyah.
“Saya rasa sudah biasa (kena kecam). Saya terima semuanya kerana saya faham, saya kena hadap semua itu.
“Apa yang kita buat, betul atau salah, semua ada persepsi masing-masing. Harus diakui saya juga manusia biasa.
“Cuma saya dah belajar untuk meletakkan perkara itu ke tepi dan terus fokus kepada kerjaya saya,” katanya.-UTUSAN