Kejadian seorang murid perempuan cedera di kepala di sebuah sekolah di Sipitang, Sabah yang tular di media sosial hari ini bukan berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah Ag Ku Jainuddin Ag Wahab berkata siasatan awal mendapati murid berkenaan cedera akibat kemalangan ketika bermain bersama rakan di sekolah.
“Pihak sekolah mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden itu dan telah bertindak segera membawa murid terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata gambar yang tular di media sosial diambil semasa murid berkenaan dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ag Ku Jainuddin berkata ibu bapa murid yang terlibat telah dimaklumkan mengenai kejadian itu, dan pihak sekolah turut memberikan jaminan akan terus menitikberatkan aspek keselamatan serta kebajikan semua murid.
“Kami juga akan mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sipitang Supt Awang Anak Suanda mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan kes itu sedang dijalankan.
– Bernama






