PETALING JAYA: Permasalahan rakyat khususnya tekanan hidup ekoran rasionalisasi subsidi diesel, pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan tarif elektrik menjadi antara isu hangat dalam Muktamar Pas Ke-71 di Kedah dari 11 hingga 16 September ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, perwakilan juga dijangka meneliti hala tuju dasar kerajaan dilihat tidak seiring dengan realiti dihadapi rakyat di peringkat akar umbi dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, perkara itu amat penting kerana Pas lantang dalam membela nasib rakyat khususnya dalam mendepani konomi masih mencabar meskipun kerajaan mengumumkan pelbagai kejayaan membawa masuk banyak pelaburan.
“Selain itu, perwakilan dijangka mendesak supaya usaha penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu dan Islam diperkasakan dengan naratif yang lebih inklusif, seiring sambutan positif terhadap kelulusan penubuhan Dewan Himpunan Pendokong Pas (DHPP) sebagai sayap parti.
“Perwakilan juga dijangka meminta agar usaha lebih agresif dilakukan dalam membina hubungan persefahaman dengan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang sederhana dan tidak ekstrem,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, persediaan PRU16 turut diberi perhatian serius dalam muktamar termasuk memperkukuh jentera parti, memantapkan kepimpinan di semua peringkat dan meningkatkan kualiti ahli Pas agar kekal relevan dalam landskap politik semasa.
Katanya, isu tahap kesiapsiagaan sektor kesihatan negara yang berdepan kekurangan doktor, jururawat dan peralatan perubatan turut menjadi antara agenda pertemuan tahunan Pas.
Beliau berkata, Pas amat konsisten mempertahankan kedudukan agama Islam, hak Melayu serta keistimewaan Bumiputera seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam masa sama, Pas terus menggerakkan kerjasama strategik dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuh hubungan dengan NGO bukan Islam yang sederhana dan tidak ekstrem,” katanya.
Namun beliau berpandangan sudah tiba masanya semua parti politik Melayu dan Islam kembali ke meja rundingan.
“Permuafakatan ini penting untuk memastikan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera diletakkan di hadapan, mengatasi kepentingan kepartian yang hanya merugikan rakyat dan negara,” katanya.
Muktamar Pas yang berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 11 hingga 16 September juga menyaksikan pemilihan kepimpinan Pas yang membabitkan seluruh sayap termasuk peringkat jawatan tertinggi parti.-UTUSAN