Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin berkata Muhyiddin Yassin akan menyerahkan jawatan presiden parti apabila dia bersedia kelak.
Di tengah laporan mengenai ketegangan dalaman parti kebelakangan ini, Hamzah menyamakan proses peralihan kepimpinan itu seperti perlumbaan berganti-ganti 4×100 meter.
“Mungkin saya pelari kedua dan beliau pelari pertama. Saya hanya menunggu. Apabila dia hampir dengan saya, dia (akan) serahkan baton, saya akan ambilnya.
“Asalkan saja belum melintasi garisan penamat,” katanya pada rancangan BFM Breakfast Grille.

Episod podcast itu disiarkan pada 31 Oktober manakala video temu bual tersebut dimuat naik ke YouTube semalam.
Bersatu sejak kebelakangan ini dilanda pergolakan dalaman berhubung usaha untuk meletakkan Hamzah sebagai presiden parti.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan,yang sebelum ini dipecat daripada parti kerana didakwa terbabit dalam isu berkenaan, pada 3 November mengeluarkan rakaman audio prosiding lembaga disiplin Bersatu terhadapnya sebagai bukti yang kononnya menyokong dakwaan bahawa Hamzah menjadi sasaran yang sebenar.
Melalui rakaman yang diedarkan kepada media itu, Wan Saiful kedengaran mencabar pengerusi lembaga disiplin Radzi Manan kerana mengaitkan Hamzah dengan kes tersebut.

Radzi turut didengar berkata lembaga berkenaan telah memanggil Hamzah dan menuduh timbalan presiden itu mempunyai hasrat untuk menjadi perdana menteri.
Hamzah dilaporkan menolak panggilan untuk hadir di hadapan lembaga disiplin.
Hamzah dakwa sudah maklumkan Muhyiddin lebih awal
Dalam temu bual berkenaan, Hamzah mendakwa dia sudah memaklumkan kepada Muhyiddin tentang perpecahan dalaman parti itu sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu berlangsung.

“Saya tahu tentang hal itu beberapa hari atau seminggu sebelum AGM kami. Jadi saya sudah beritahu presiden ketika itu.
“Pada masa itu, saya sepatutnya ke luar negara, dan saya pun pergi. Apabila saya pulang, saya bercadang untuk cuba selesaikan perkara itu.
“Tetapi sesuatu berlaku yang menyebabkan saya tidak dapat melakukannya ketika itu. Sebab itulah isu ini berlarutan,” katanya.
Semasa AGM tersebut, beberapa perwakilan secara terbuka menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan, mencetuskan kekecohan dalam persidangan itu.
‘Tak galak usaha nak ambil alih’
Hamzah turut menegaskan dia tidak menyokong atau menggalakkan mana-mana usaha untuk meletakkannya sebagai presiden kerana hanya baru mengetahui tentang percubaan tersebut.
Kata Hamzah kesetiaannya kepada Muhyiddin tidak sepatutnya dipersoalkan.
Apabila ditanya mengenai kewujudan tiga kem dalam parti, Hamzah hanya menjawab ia mencerminkan ramainya pemimpin dalam Bersatu.
Tiga kumpulan itu dikatakan terdiri daripada penyokong Muhyiddin, Hamzah, dan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali.

“Saya sangat gembira apabila anda tanya soalan itu; ia menunjukkan Bersatu mempunyai ramai pemimpin, sampai boleh wujud blok seperti itu,” katanya.
Namun, apabila ditekan sama ada kem tersebut benar-benar wujud, Hamzah menjawab dia tidak tahu.
“Saya tidak tahu, sebab itulah saya kata, memandangkan orang bercakap bahawa kita ada tiga blok ketika ini, saya sebenarnya gembira, kerana itu menunjukkan kita mempunyai pemimpin dalam parti yang diiktiraf oleh rakyat,” katanya.
Desakan undur Muhyiddin
Pada 4 November, Bahagian Bersatu Ampang menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan selepas jawatankuasa bahagian itu sebulat suara menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinannya.
Mereka berkata keputusan itu dibuat kerana Muhyiddin gagal menamatkan krisis dalaman yang sedang melanda parti.
Setiausaha Bersatu Ampang, Daing Mohamad Daing Makati, berkata mereka sudah lama sedar wujud “pergolakan dalaman besar” dalam parti, khususnya membabitkan hubungan antara Azmin dan Ketua Penerangan parti Tun Faisal Ismail Aziz, bersama sebahagian besar pemimpin bahagian di seluruh negara.

Pada 1 November, muncul pula sepucuk surat yang ditandatangani oleh 16 ahli parlimen Bersatu yang menyatakan bantahan terhadap tindakan memanggil Hamzah ke lembaga disiplin serta pemecatan Wan Saiful.
Mereka turut membantah penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Tidak lama kemudian, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah mendakwa jumlah sebenar ahli parlimen yang menyokong kumpulan mereka melebihi 19 orang.






