Parti Muda membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung dakwaan pemberi maklumat isu rasuah Sabah,Albert Tei yang dia diugut oleh pegawai SPRM supaya tutup mulut dan tidak membongkarkan isu berkenaan.
Pemangku presidennya Amira Aisya Abdul Aziz, berkata dia mengambil tanggungjawab membuat laporan polis selepas melihat agensi yang sepatutnya mencegah rasuah gagal bertindak terhadap perkara itu.

“Saya telah membaca satu artikel yang mana artikel ini dilaporkan pada bulan tujuh (Julai) di mana Albert Tei telah melaporkan bahawa pada Oktober 2024 beliau ingin membuat satu laporan tentang perlombongan di Sabah tetapi pada waktu itu diugut oleh pegawai tertinggi SPRM.
“Ini bagi saya tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali. Ini satu pengkhianatan pada institusi SPRM. Tapi yang tidak masuk akal sekali Azam langsung tidak bersuara, langsung tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap dakwan yang dibuat Albert.
“Saya akan membuat laporan polis menggesa siasatan dilakukan terhadap Azam mengapa dia tidak bersuara, mengapa tidak ada satu pun siasatan dijalankan terhadap dakwaan yang dibuat Albert,” katanya kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Laporan polis itu dibuat sambil ditemani beberapa orang peguam termasuk, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek.
Amira berkata, amat malang apabila institusi yang sepatutnya mencegah rasuah hanya mendiamkan diri dan seolah-olah memihak kelompok tertentu.
Pada 23 Julai lalu, Tei yang juga ahli perniagaan bersedia untuk menamakan pegawai SPRM yang memberi amaran kepadanya agar tidak mendedahkan skandal perlombongan di Sabah, namun dia mahukan perlindungan sebagai pemberi maklumat terlebih dahulu, kata peguamnya Mahajoth Singh.
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Mahajoth mendedahkan amaran itu datang daripada individu yang memegang jawatan berautoriti tinggi.
Dia mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran semalam yang menggesa Tei membuat laporan rasmi serta memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk intimidasi terhadap pemberi maklumat.

Namun, Mahajoth berkata jaminan seperti itu perlu dilihat dengan berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu anak guamnya.
Mengulas lanjut, Amira menggesa orang ramai tanpa mengira parti politik membuat laporan polis terhadap Azam berhubung perkara itu.
Sementara itu, Zaid berkata isu ini bukan asing bagi kalangan rakyat, malah terdapat beberapa video dan rakaman audio berhubung pendedahan rasuah tersebut.
“Mengapa tidak ada apa-apa siasatan yang telus dan menyeluruh dalam hal ini dengan mendakwa semua orang terlibat dalam skandal ini.
“SPRM mempunyai tugas untuk menyiasat apa-apa kejadian rasuah itulah yang terkandung dalam seksyen tujuh dan 11 akta SPRM tersebut… tanggungjawab siasat secara menyeluruh kejadian rasuah yang berlaku,” katanya.
Katanya kegagalan siasatan jelas berlaku apabila tiada tindakan meskipun segala bukti telah diserahkan kepada SPRM.