Parti Muda hari ini membuat laporan polis kedua terhadap pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa gagal mengambil tindakan terhadap satu dakwaan serius melibatkan seorang pegawai tinggi agensi berkenaan.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Derah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Menurut Muda, Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM gagal melaksanakan kewajipannya berhubung satu laporan yang didedahkan oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei.
“Pada 23 Julai lalu saya membaca artikel di Malaysiakini bertarikh 22 Julai yang memetik dakwaan Albert Tei bahawa dia cuba tampil kepada SPRM pada akhir Okt 2024 untuk mendedahkan maklumat mengenai skandal perlombongan di Sabah, namun telah diberi amaran oleh seorang pegawai tinggi SPRM supaya tidak berbuat demikian.
“Artikel susulan pada 23 Julai pula melaporkan Albert Tei bersedia menamakan pegawai SPRM berkenaan dengan syarat beliau diberikan perlindungan pemberi maklumat terlebih dahulu,” katanya dalam laporan polis itu.
Untuk rekod, laporan polis hari ini merupakan yang kedua dibuat Amira terhadap Azam.
Pada 27 Ogos lalu Amira membuat laporan polis pertama terhadap Azam apabila berpendapat ketua agensi antirasuah berkenaan “hanya mendiamkan diri” dan seolah-olah memihak kelompok tertentu.
Pada 23 Julai lalu, Tei yang juga ahli perniagaan bersedia untuk menamakan pegawai SPRM yang memberi amaran kepadanya agar tidak mendedahkan skandal perlombongan di Sabah, namun dia mahukan perlindungan sebagai pemberi maklumat terlebih dahulu, kata peguamnya Mahajoth Singh.
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Mahajoth mendedahkan amaran itu datang daripada individu yang memegang jawatan tinggi.
Dia mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, yang menggesa Tei membuat laporan rasmi serta memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk intimidasi terhadap pemberi maklumat.
Namun, Mahajoth berkata jaminan seperti itu perlu dilihat dengan berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu anak guamnya.
Mengulas lanjut, Amira yang juga Adun Puteri Wangsa di Johor menyatakan kebimbangannya kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh Azam berhubung dakwaan tersebut.
“Bagaimana mungkin ketua pesuruhjaya yang mengetuai badan penguatkuasaan tertinggi negara dalam memerangi rasuah berdiam diri terhadap dakwaan bahawa SPRM sendiri memberi amaran kepada seseorang supaya tidak melaporkan rasuah?” katanya.
Dia berpendapat kegagalan Azam untuk bertindak bukan sahaja suatu pelanggaran langsung terhadap kewajipannya di bawah Seksyen 11 yang dibaca bersama Seksyen 7 Akta SPRM 2009, malah mungkin merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.
“Dengan ini, saya memohon agar pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap tindakan (atau ketiadaan tindakan) Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam perkara ini, dan mengambil tindakan sewajarnya menurut undang-undang sekiranya pelanggaran atau kesalahan terbukti,” katanya.