Pemantau hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) menggesa kerajaan Malaysia supaya mendesak junta Myanmar membebaskan satu keluarga pelarian yang didakwa diculik dari Kuala Lumpur dua tahun lalu.
HRW berkata, Malaysia perlu segera membuka semula siasatan mengenai penculikan Thuzar Maung dan keluarganya dari rumah mereka di Ampang, yang mungkin merupakan satu bentuk penindasan rentas sempadan — pelanggaran hak asasi manusia oleh sesebuah negara terhadap warganya di luar negeri.
“Pihak berkuasa Malaysia perlu secara terbuka mendesak junta Myanmar membebaskan Thuzar Maung dan keluarganya serta menyiasat bagaimana pelarian terkenal ini boleh berada di Myanmar,” kata pengarah Asia HRW, Elaine Pearson.
“Kerajaan Malaysia gagal melindungi pelarian yang berisiko, termasuk kanak-kanak, dan peranan junta Myanmar serta kemungkinan penglibatan kerajaan lain perlu disiasat dan didedahkan sepenuhnya.”
Thuzar dan keluarganya didakwa diculik di rumahnya di Ampang Jaya, Kuala Lumpur, pada 4 Julai 2023 melibatkan kereta polis palsu.

Human Rights Watch dalam laporannya mengenai insiden itu menggambarkan Thuzar sebagai penyokong lantang gerakan prodemokrasi Myanmar.
Anggota Parlimen Selayang William Leong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Hak Asasi Manusia, pernah menggesa polis menyiasat dakwaan penculikan itu.
Katanya kurangnya perkembangan positif daripada penyiasatan akan memberi gambaran buruk berhubung tahap keselamatan di Malaysia.






