Malaysia Oversight

M’sia berhak tamatkan perjanjian dengan AS bila-bila masa

By MkiniBM in November 3, 2025 – Reading time 2 minute
M'sia berhak tamatkan perjanjian dengan AS bila-bila masa


Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut kenyataan AGC, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.

“Artikel 7.2 ART memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.

“Pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah perjanjian ini oleh Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai,” menurut AGC.

27a92c50668dcaa68b6d0874f3a331de

Menurut AGC, ART juga memperuntukkan rundingan dengan suci hati antara Malaysia dan AS berhubung isu pelaksanaan sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak satu lagi.

“Bagaimanapun, berdasarkan Artikel 7.1, Malaysia dan AS sebagai negara anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak, kewajipan masing-masing serta perlindungan yang diperuntukkan di bawah perjanjian WTO bagi perdagangan antarabangsa,” menurut AGC.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald pada 2 April 2025.

322fbb7ae8926d327a6dde087d5c7d4c

Rundingan berkenaan diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia manakala AS diwakili Office of the United States Trade Representative.

MITI turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan dalam rundingan itu dan keputusan dasar berhubung ART telah dibuat oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira aspek ekonomi, politik dan perundangan.

– Bernama



Source link