Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Seputeh berkata, dakwaan Umno Seputeh yang mereka diketepikan daripada pelantikan ke dalam badan itu sebagai tidak munasabah serta tidak adil.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, MPPWP Seputeh berkata kriteria pelantikan itu dibuat berdasarkan prestasi dan rekod perkhidmatan seseorang ahli dan pejabat ahli parlimen serta Menteri Wilayah Persekutuan mempunyai hak prerogatif dalam membuat pemilihan.
Berdasarkan prinsip itu, katanya, DAP tidak pernah mengadu kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani, apabila mereka tidak melantik ahli DAP dalam MPPWP Titiwangsa.
“Berdasarkan garis panduan MPPWP, majlis perwakilan penduduk (MPP) adalah struktur komuniti yang membantu kecekapan penyampaian perkhidmatan secara berterusan di samping melaksanakan program-program kemasyarakatan dan modal insan di kawasan pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Kami sebagai pemimpin MPPWP Seputeh ingin menegaskan perlantikan ahli MPP Seputeh dijalankan secara telus dan inklusif,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi MPPWP Seputeh, Alice Lan, serta timbalannya, Alice Choo.
Pada 25 Julai lalu Umno Seputeh menyatakan rasa tidak puas hati mereka apabila mendakwa parti terbabit tidak diberi ruang untuk berperanan sehingga menunjukkan “tiada kerajaan yang benar-benar menyantuni rakyat.”
Ketua Umno Seputeh, Razlan Rafii, mendakwa dia berasa bimbang kerana jika keadaan itu berterusan, banyak isu “tidak dibawa ke atas kerana suara Umno tidak diendahkan.”
Harap lebih erat, mesra
Pada 20 Sept lalu, Setiausaha Umno Seputeh, Nurul Hazwani Haslan, pula mendakwa Jabatan Wilayah Persekutuan memungkiri janji mereka terhadap Umno berhubung pelantikan ahli MPPWP.
Menurutnya, selama ini Umno Seputeh bersabar walaupun tidak diberi satupun jawatan dalam MPPWP Seputeh bagi penggal 2024-2025 selepas dijanjikan mengenainya.
Dakwa Nurul Hazwani, janji tersebut dimungkiri bagi pelantikan penggal bermula Julai 2025 hingga 2028.
Dia mengeluarkan kenyataan itu sebagai menjawab kenyataan media Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Nur Azrina Surip, yang menegaskan agar Umno mengutamakan manfaat rakyat berbanding perjuangan individu.

Nur Azrin berkata demikian sebagai menepis dakwaan Ketua Umno Batu, Gulam Muszaffar Shah Gulam Mustakim, dan Razlan Rafii, yang mendakwa ahli parti mereka tidak diberi ruang berperanan di Wilayah Persekutuan.
Setiausaha Zaliha itu menegaskan bahawa pelantikan politik di Wilayah Persekutuan turut melibatkan wakil BN.
MPPWP Seputeh berkata selama ini pejabat Ahli Parlimen Seputeh banyak memberikan peruntukan kepada masjid, surau dan persatuan yang diketuai oleh pemimpin Umno agar pelbagai aktiviti dapat dianjur untuk manfaat penduduk setempat.
“Dalam perlantikan anggota jawatankuasa setiap sub zon dalam MPPWP Seputeh, kami mengambil kira perwakilan daripada warga setempat yang melibatkan parti-parti dalam PH, persatuan penduduk, NGO setempat, dan termasuk ahli-ahli BN.
“Walaupun kami tidak ada menerima senarai nama daripada Umno Seputeh dan BN Seputeh, kami terus mencalonkan ahli-ahli dan penyokong Umno-BN yang kami kenali dalam setiap sub zon MPPWP Seputeh.
“Bagaimanapun malangnya beberapa ahli Umno Seputeh menolak perlantikan ke dalam MPPWP Seputeh tanpa memberi apa-apa alasan,” katanya.
Choo dan Lan menambah, MPPWP Seputeh berharap Umno di bahagian itu menghargai kerjasama yang telah diberikan demi manfaat masyarakat setempat.
“Kami juga berharap kerjasama yang lebih erat dan lebih mesra dapat dipertingkatkan di antara Umno Seputeh dengan Pejabat Ahli Parlimen Seputeh serta MPPWP Seputeh demi kesejahteraan semua,” katanya.