Malaysia Oversight

MPM pertimbang tindakan pada Cheah

By MkiniBM in September 18, 2025 – Reading time 3 minute
MPM pertimbang tindakan pada Cheah


Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemenang dua pingat emas Paralimpik, Cheah Liek Hou.

Ini berhubung luahan Cheah di media sosial yang mendakwa dia tidak menerima insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan bagi kemenangan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presiden MPM, Megat D Shahriman Zaharudin (gambar bawah) berkata kenyataan umum Cheah menjejaskan kredibilitinya serta menghalang penajaan masa depan.

“Kami sedang berbincang dengan pihak peguam untuk melihat tindakan seterusnya. Kami juga akan menghantar surat tunjuk sebab kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

134a8b3aaf62ea94123d990e57f59383

“Kita akan akan hantar surat kepada Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan sama ada tata etika sekiranya atlet boleh buat sebegini atau tidak… kita akan menghantar surat berkenaan,” katanya seperti dipetik BH Online.

Katanya, MPM sentiasa terbuka berbincang dengan atlet namun memberi amaran bahawa kenyataan yang dibuat secara terbuka akan menjejaskan saluran penajaan.

Laporan berasingan oleh TwentyTwo13 memetik Megat menegaskan MPM memiliki kuasa mendaftarkan atlet untuk menyertai temasya pelbagai sukan.

“Dalam kes Cheah, jika dia mahu bertanding di Kejohanan Dunia badminton, BAM akan daftarkannya.

‘Boleh haramkan seumur hidup’

“Tetapi jika dia mahu bertanding di Sukan Asia, Sukan SEA, Olimpik atau Komanwel, kamilah badan yang berkuasa.

“Jika didapati bersalah oleh jawatankuasa tatatertib, kami boleh haramkan dia seumur hidup daripada kejohanan tersebut,” katanya.

Menurut laporan itu, pada 12 Sept, Cheah memuat naik hantaran di media sosial: “Sudah setahun sejak Paralimpik Paris, tetapi saya masih belum menerima insentif yang dijanjikan. Rasa macam mereka (MPM) menipu saya. Bila mereka mahu keputusan, mereka janji segalanya. Bila kami para atlet paralimpik tunaikan, apa yang kami dapat sebagai balasan?”

bac34aa5cd78ac0de43d7d2187530602

Megat berkata penggunaan perkataan “scam” (penipuan) merupakan satu bentuk fitnah terhadap MPM.

“Saya hairan bagaimana dia mendapat angka RM60,000 sedangkan kami tidak pernah menyebut angka itu.

“Kami kata setiap pemenang pingat emas akan menerima sekurang-kurangnya RM15,000, RM10,000 untuk perak, dan RM5,000 untuk gangsa.

“Pada Jun lalu, Cheah menerima cek RM10,000 dan insentif lain untuk pingat emasnya. Saya maklumkan kepadanya wang penaja sudah masuk dan satu lagi penyampaian akan dijadualkan,” katanya.

da476dfe4865779516bc26a396d02016

Sebagai respons, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin menyifatkan Megat sebagai “pembuli” dan berkata sebarang pertimbangan untuk mengharamkan Cheah berhubung isu itu merupakan penyalahgunaan kuasa.

Dalam kenyataan hari ini, ahli Parlimen DAP itu menggesa Megat meletakkan jawatan kerana gagal menunjukkan kepimpinan dan memilih untuk menakut-nakutkan Cheah.

“Janji ganjaran bukan isyarat sambil lewa. Ia adalah komitmen kewangan yang mengikat. Cheah sudah menunaikan bahagiannya dengan memenangi emas untuk Malaysia di Sukan Paralimpik, mengharumkan nama negara.

“Oleh itu menjadi kewajipan MPM menunaikan janji ganjaran RM60,000, tanpa mengira sama ada penaja swasta mungkir. Menyalahkan penaja tidak melepaskan majlis daripada tanggungjawab,” katanya.

fa79e7b90b3f66ce560032e3b9bf9627

Dia turut menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bertindak segera untuk melindungi atlet daripada layanan tidak adil.

Secara berasingan, Setiausaha Pengelola MCA, Kang Meng Fuat, menuduh Yeoh berdiam diri dalam isu Cheah.

“Adalah bercanggah apabila kementerian bertindak sebagai jurucakap MPM dengan mengumumkan insentif, hanya kemudian mendakwa ‘ini bukan bidang kuasa kami’ apabila masalah timbul.

“Beberapa hari lalu, Hannah sendiri menyatakan bagi pihak MPM bahawa insentif akan dibayar ‘dalam beberapa hari’.

“Tetapi apabila jumlahnya tiba-tiba dikurangkan, beliau mengalihkan semula kesalahan kepada MPM. Jika sebelum ini beliau boleh bercakap bagi pihak mereka, mengapa kini ia bukan lagi tanggungjawab kementeriannya?” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada 13 Sept, The Star melaporkan Hannah berkata isu itu telah diselesaikan, memberi jaminan Cheah akan dibayar insentif RM60,000 “tidak lama lagi”.

Dia berkata telah diberikan penjelasan oleh MPM dan organisasi itu telah menetapkan tarikh untuk Cheah menerima insentif tersebut.

Laporan sama menyebut Cheah menjelaskan dalam hantaran lain bahawa kementerian tidak terlibat – hanya MPM.

Kang seterusnya berkata Hannah mempunyai kewajipan mendesak MPC bagi pihak atlet, walaupun majlis itu tidak berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Jika benar Hannah tidak mahu campur tangan dalam urusan MPM, mengapa tidak ditegaskan semasa kunjungan hormat bahawa kementerian belia dan sukan tidak akan terlibat? Sebaliknya, beliau tampil sebagai jurucakap mereka.

“MCA menggesa Hannah berhenti menuding jari dan mengelak tanggungjawab,” tambahnya.



Source link