PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bakal menganjurkan Program Hari Tanpa Kenderaan Sempena Hari Kanak-Kanak Peringkat MPAJ Tahun 2025 pada 16 November, iaitu Ahad ini bermula pukul 7 pagi bertempat di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah.
Program ini diadakan bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak bagi meraikan golongan cilik yang menjadi pewaris masa depan negara, di samping mendidik masyarakat tentang pentingnya gaya hidup sihat dan mesra alam.
Menurut Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Hasrolnizam Shaari, program itu juga merupakan satu langkah proaktif dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor.
“MPAJ amat komited dalam mewujudkan bandar yang lebih hijau dan lestari. Program ini mendidik masyarakat tentang impak positif apabila kita kurangkan penggunaan kenderaan – ia bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah mewujudkan ruang awam yang lebih selamat dan sihat untuk semua,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif telah dirancang bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat, terutamanya kanak-kanak. Antaranya termasuklah Fun Walk, Aktiviti Zumba, serta Eksplorasi Sukan Rakyat dan Warisan yang menyuntik elemen kebudayaan dalam suasana riang dan santai.
Untuk kanak-kanak, terdapat pertandingan mewarna, sukaneka, persembahan kanak-kanak, serta permainan Supa Dupa dan Popcorn Cotton Candy – semuanya dirancang untuk menjadikan hari tersebut penuh ceria dan menggembirakan.
Salah satu acara yang dijangka mendapat sambutan hangat ialah “Cabaran di Dapur Bersama Chef Cilik”, iaitu pertandingan memasak khas buat si kecil yang berbakat. Di samping itu, pengunjung juga akan dihiburkan dengan pertunjukan cosplay yang menampilkan pelbagai watak adiwira dan animasi kegemaran ramai.
Prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat, MPAJ turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta mengedarkan susu percuma daripada Farm Fresh sebagai galakan kepada amalan pemakanan sihat sejak kecil.
Untuk pengunjung yang ingin menikmati hidangan enak, terdapat gerai jualan makanan dan minuman, termasuk jualan Rahmah yang menawarkan barangan pada harga mesra rakyat, seiring dengan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah.
MPAJ menyeru seluruh warga Ampang Jaya serta kawasan sekitar untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program ini. Ia bukan sahaja medan hiburan keluarga, malah platform penting untuk memperkukuh hubungan komuniti dan semangat kejiranan.
Program ini membawa mesej jelas melalui temanya: #RakyatHarmoniAmpangSejahtera – satu aspirasi ke arah komuniti yang lebih bersatu, sihat dan seimbang.
Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan kepada urus setia menerusi nombor berikut: Pn. Norhanim (010-5343292) atau En. Ashraf (017-8204448).
Ayuh, bawa keluarga anda dan sertai kemeriahan Hari Kanak-Kanak 2025 bersama MPAJ!






