PARLIMEN l Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menggesa seluruh ahli parlimen supaya menyokong dan meluluskan Rang Undang-undang Pekerja Gig.
Presiden TPAD M Nathan menegaskan, mereka yang menolak atau melengah-lengahkan kelulusan RUU ini layak digelar sebagai pengkhianat.
“Kalau ada yang menolak RUU Pekerja Gig atau melengah-lengahkan lagi, kita boleh katakan mereka adalah pengkhianat kepada semua pekerja gig ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia di pintu masuk Bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu kira-kira 100 pekerja gig yang terlibat dengan sektor E-Hailing dan P-Hailing berkumpul bagi menyakan sokongan terhadap pelaksanaan akta tersebut dan menyerahkan memorandum.
Memorandum tersebut antara lain menuntut penetapan harga lantai oleh Kementerian Pengangkutan, pengagihan tugas secara adil, kajian semula program pembayaran servis Grab dan meluluskan segara RUU Pekerja Gig.
Nathan berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila Sim turun menerima memorandum mereka berbanding usaha sebelum ini hanya dilayan oleh pegawai.
“Ini satu detik bersejarah apabila menteri sendiri turun menerima memoranda dan mendengar luahan serta tuntutan kami.
“Saya harap semua ahli parlimen yang berjiwa rakyat akan menyokong RUU ini,” katanya.

Sementara itu Sim berkata pihaknya akan ‘jalan terus’ dalam usaha memberi keadilan kepada 1.2 juta golongan pekerja gig.
“Dalam masa setahun ini kita berusaha hasilkan ‘buku biru’ yang bukan dihasilkan dengan aircond di pejabat saya, kita turun padang dengar sendiri daripada rider P-Hailing, dari akar umbi, pemain industri perfileman dan kewartawanan. Hasilnya dari suara rakyat.
“Saya masih ada lagi halangan, ada kawan kita salah faham, ada juga minta supaya kita tangguh.
“Saya tak mahu tangguh, kerajaan sudah sedia,” katanya.
Isnin lalu RUU Pekerja Gig sudah dibentangkan bagi bacaan pertama, dan dijangkan akan diteruskan dengan bacaan kedua esok.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Zarrah Morden dan Alyaa Alhadjri