PARLIMEN | Beberapa ahli parlimen hari ini membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan perlindungan terhadap ahli perniagaan Albert Tei yang menjadi pemberi maklumat skandal perlombongan di Sabah.
Sama ada dari blok pembangkang atau kerajaan, kedua-dua pihak melahirkan kebimbangan apabila Tei – yang sebelum ini mendedahkan butiran penting berkenaan penglibatan ahli politik dakwaan rasuah – tidak menerima sebarang perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) misalnya mempersoalkan tindakan kerajaan tidak memberikan perlindungan kepada Tei walaupun membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Takiyuddin, pendedahan yang dilakukan oleh Tei sepatutnya dihargai, bukan menyebabkan dia berdepan risiko intimidasi atau pendakwaan.
“Apa yang menarik perhatian saya, walaupun akta ini dianggap sepatutnya memberi manfaat besar dalam memerangi rasuah, tetapi pelaksanaannya sukar dan tidak begitu senang,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin merujuk jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, pada sesi parlimen sebelum ini yang menjelaskan bahawa Tei tidak diberikan perlindungan kerana didakwa mendedahkan maklumat kepada media terlebih dahulu.

“Saya juga tanya kenapa dia tidak dapat kekebalan, menteri kata nak jawab secara umum dan tak mahu sentuh kes sebab kononnya subjudis.
“Tapi kalau kita rujuk Peraturan Mesyuarat 23(1)(g), ia hanya menyebut soalan tidak boleh dikarang sehingga boleh mengganggu perbicaraan, jadi bukan semua perkara dalam mahkamah itu subjudis,” tegas Takiyuddin.
Kata Setiausaha Agung PAS itu lagi, sesuatu perkara hanya dianggap subjudis jika ia bersifat prejudis kepada kes dibicarakan.
Sehubungan itu, Takiyuddin menuntut jawapan lanjut daripada kerajaan serta alasan mengapa individu terbabit masih didakwa walaupun menjadi pemberi maklumat dalam isu yang membabitkan kepentingan awam.
Rakyat kian keliru
Sementara itu, Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan akta tersebut yang dilihat tidak konsisten dan berpotensi menimbulkan persepsi pendakwaan terpilih.
“Saya harap menteri buatlah yang terbaik. Akta ini perlu dilaksanakan mengikut kehendak dan tuntutan.
“Jangan ada lagi pendakwaan ikut pilih bulu,” katanya.
Bung Moktrar turut membangkitkan persoalan mengapa dalam kes lesen cari gali mineral di Sabah, hanya dua individu didakwa, manakala yang lain masih bebas.
“Seharusnya undang-undang ini biarlah berjalan seiring ke atas mana-mana pihak. Kena ada keadilan.
“Saya didakwa, saya lawan di mahkamah dan selagi tidak bersalah, saya pegang hak saya. Tetapi yang lain-lain ini saya tidak tahu,” katanya.

Bung Moktar menegaskan rakyat kini semakin keliru terhadap pelaksanaan undang-undang negara dan menggesa kerajaan memperkukuh keyakinan awam melalui pelaksanaan undang-undang yang telus dan adil.
Dia yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, akta tersebut penting bagi “merungkai masalah yang selama ini berlegar dalam fikiran rakyat”.
Kata Bung Moktar, seluruh rakyat berasa keliru dengan apa yang berlaku.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN- Machang) pula membangkitkan persoalan tentang rakyat yang didakwanya masih takut untuk tampil melaporkan salah laku, dan kenapa pendedahan sering dilakukan kepada media dan NGO.

“Kes lombong mineral di Sabah, pendedahan oleh pegawai kerajaan negeri dan aktivis bukan melalui saluran rasmi tetapi melalui media dan NGO. Adakah mereka dilindungi? Jawapannya, tidak.
“RUU (Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat) masih berdiam diri terhadap keperluan untuk membenarkan external disclosure (pendedahan luaran) seperti di Australia dan AS,” katanya.
Dia turut menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Perlindungan Pemberi Maklumat, dan bukan sekadar jawatankuasa lantikan menteri.
“Luluskan perlindungan untuk pelaporan melalui media, NGO atau ahli parlimen jika pelapor tidak yakin dengan agensi (pihak berkuasa) rasmi.
“Pastikan pelapor dalam kes gangguan seksual, salah guna kuasa politik dan korporat diberikan perlindungan tanpa prejudis,” tegasnya.
Ikut tempoh tertentu
Mas Ermieyati Samsudin (PN- Masjid Tanah) berkata pindaan akta itu tidak memberi jaminan menyeluruh kepada pemberi maklumat sebaliknya terhad kepada maklumat yang disalurkan kepada agensi yang tertentu sahaja.
Realitinya, kata pemimpin Bersatu itu, ramai pemberi maklumat memilih media untuk membuat pendedahan berbanding pihak berkuasa kerana menganggap sistem dalaman gagal.
“Saya mohon definisi pemberi maklumat diperluaskan dan diberikan secara jelas agar ia dapat meliputi segala maklumat yang disalurkan kepada mana-mana pihak yang berautoriti termasuklah ahli parlimen, Adun, media dan masyarakat sivil.
“Cuma kaedahnya haruslah difikirkan,” katanya.
Young Syefura Othman (PH-Bentong) pula mendesak kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap pemberi maklumat, termasuk mewujudkan saluran pendedahan alternatif sekiranya agensi bertanggungjawab gagal bertindak dalam tempoh munasabah.
Katanya akta sedia ada perlu dipinda bagi membolehkan pemberi maklumat membawa pendedahan kepada media atau umum jika tiada tindakan diambil selepas laporan dibuat kepada agensi berkaitan.

“Sekiranya laporan telah dibuat kepada agensi bertanggungjawab, tetapi tiada tindakan diambil dalam tempoh tertentu, maka pemberi maklumat harus diberi hak untuk membawa pendedahan tersebut kepada umum tanpa dikenakan tindakan undang-undang.
“Asalkan ia dilakukan dengan niat yang baik dan atas dasar kepentingan awam, saya fikir perkara ini harus dipertimbangkan di Malaysia supaya sebarang kes yang dilaporkan tidak ditenggelamkan dan disenyapkan,” katanya.
Young Syefura mengakui prinsip kerajaan yang tidak mahu amalan “trial by media” (perbicaraan menerusi media) berlaku seperti dibangkitkan Azalina sebelum ini.
Bagaimanapun, Young Syefura berpandangan jika akta sedia ada tidak mencukupi, pemberi maklumat wajar mempunyai pilihan lain.