Malaysia Oversight

MP Pendang pula digantung parlimen 10 hari

By MkiniBM in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
MP Pendang pula digantung parlimen 10 hari


PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menggantung Awang Hashim (PN-Pendang) selama 10 hari di bawah Peraturan Mesyuarat 44(2) susulan dakwaan ancaman fizikal yang berlaku di Dewan Rakyat minggu lalu.

Johari yang mempengerusikan sesi penggulungan Kementerian Kewangan bagi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13, turut menjawab celahan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan beberapa lagi ahli parlimen pembangkang yang lebih awal bangun cuba mendahului keputusannya.

“Saya ambil tindakan hari ini sebab kita selalu bercakap tentang buli. Kita kata tindakan tidak cukup, pihak berkuasa tidak ambil tindakan terhadap macam-macam perkara.

“Masa itu saya yang mempengerusikan, saya duduk di sini. Jadi saya nak fokus ini pada Pendang sahaja.

“Kenapa Pendang? Sebab ketika itu saya yang mempengerusikan, saya nampak apa berlaku,” kata Johari.

Mengulas insiden itu, Johari berkata: “Kedua, apa yang buat saya kecil hati… remuk hati. Kita bercakap tentang kelakuan anak-anak kecil di sekolah, tapi kita sendiri berkelakuan begini di depan budak-budak.”

“Oleh itu, dengan keputusan saya di bawah SO 44(2), saya dengan ini perintahkan Pendang keluar dewan selama 10 hari mulai hari ini,” tegasnya.

Minggu lalu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan isu keselamatan ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat, dengan menuduh Awang membuat ancaman fizikal.

Insiden itu didakwa berlaku ketika Awang dan RSN Rayer (PH-Jelutong) keluar dari Dewan Rakyat, selepas pertikaman lidah yang berakhir dengan teguran keras Johari terhadap kedua-duanya.

Keputusan terbaharu ini menandakan kali kelima Awang digantung daripada prosiding Dewan Rakyat dalam penggal semasa, dengan yang paling terkini pada Disember lalu — juga selama 10 hari.



Source link