Malaysia Oversight

MP pembangkang kecam Fadhlina tak sentuh isu buli di Dewan Rakyat

By MkiniBM in August 20, 2025 – Reading time 2 minute
MP pembangkang kecam Fadhlina tak sentuh isu buli di Dewan Rakyat


Anggota Parlimen pembangkang sekali lagi mendesak Fadhlina Sidek meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan, yang menurut mereka gagal menjalankan tugas sebagai menteri dan tidak menjawab isu buli di sekolah ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam sidang media selepas penggulungan Fadhlina, Anggota Parlimen Afnan Hamimi Taib Azamudden mengkritik Fadhlina kerana tidak menyentuh isu tersebut, walaupun Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menawarkan masa tambahan kepadanya.

“Sekarang orang bincang pasal isu buli…macam mana seorang menteri tak gunakan ruang ini untuk jawab isu besar yang timbulkan keresahan rakyat ini.

“Betul ada banyak isu (untuk ditangani kementerian). Isu ini sedang panas dan resahkan orang ramai, khususnya ibu bapa.

“Jika dia (Fadhlina) seorang yang prihatin, dia guna ruang 40 minit yang diberi Speaker untuk jelaskan isu ini. Sekurang-kurangnya rakyat dapat jawapan,” katanya.

48281bb37e52bc1b8cdf9b3510dc7816
Afnan Hamimi

Turut hadir di sidang media adalah Anggota Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Anggota Parlimen Kualau Krau, Kamal Ashaari.

‘Jawab secara profesional’

Kecewa dengan Fadhlina yang menurutnya tidak membenarkannya untuk membangkitkan isu tersebut di akhir penggulungan, Afnan barkata Johari sebelum ini juga menolak usulnya agar kes kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Speaker kata menteri boleh jawab semasa penggulungan…tapi dia tak jawab.

“Kita cadang macam-macam (dari segi) dasar, kita nak dia respons isu ini. Kita bukan nak suruh dia beri jawapan politik…kita minta dia jawab secara profesional selaku menteri,” kata Afnan yang juga ketua Pemuda .

Afnan berkata tindakan Fadhlina yang dilihat seperti mengabaikan isu tersebut menunjukkan dia wajar letak jawatan.

Terdahulu, dua kumpulan mahasiswa mengumumkan akan mengadakan protes terhadap Fadhlina, yang dirancang diadakan di depan Kementerian Pendidikan di pagi esok.

Gabungan Mahasiswa Se-Malaysia (Gamis) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) menuntut Fadhlina meletakkan jawatan selepas didakwa gagal menangani kes kematian Zara serta keutamaan yang tersasar dalam perbelanjaan pendidikan.

Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham sebelum ini turut menggesa Fadhlina dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail melepaskan jawatan mereka, dengan mendakwa kedua-duanya gagal menjalankan tanggungjawab dalam menangani kes kematian Zara.

Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang bawah asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia sehari kemudian ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Keluarganya percaya buli mungkin menjadi antara faktor kepada kematiannya. Siasatan inkues terhadap kes itu dijadual bermula pada 3 September ini.


Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, Haspaizi Zain



Source link