PARLIMEN | Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini mempersoalkan keputusan Malaysia menjemput presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47, yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur Oktober ini.
Berucap di Dewan Rakyat, Hassan Karim (Pakatan Harapan-Pasir Gudang) menyuarakan kebimbangannya terhadap peranan presiden AS dalam pembunuhan beramai-ramai yang berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Adakah wajar Malaysia sebagai pengerusi Asean jemput Trump ke Sidang Kemuncak Asean sedangkan kita tahu tangan Presiden Trump ini berlumuran darah rakyat Gaza yang tak berdosa dalam perang genocide itu.
“Adakah kita akan bentangkan permaidani merah kepada presiden Amerika yang tangannya berlumuran darah?” soalnya.
Soalan Hassan ditujukan kepada Menteri Luar Mohamad Hasan, yang menyampaikan ucapan penggulungan Rancangan Malaysia ke-13.
Mohamad kemudian mempertahankan jemputan kepada Trump, dengan mengatakan bahawa ia dihantar oleh Malaysia atas kapasitinya sebagai pengerusi Asean dan isu itu tidak boleh dicampur adukkan.
Menteri itu juga menegaskan bahawa ia akan menjadi peluang yang baik untuk Malaysia dan Asean untuk berjumpa Trump pada sidang kemuncak itu bagi menyampaikan pendirian rantau itu dalam isu Palestin.
“Saya rasa ada baiknya jika kita dapat bersemuka (dengan Trump). Semua negara-negara Asean boleh menyatakan dengan sendiri seperti mana kita nyatakan dengan sendiri semasa setiausaha negara Amerika menghadiri mesyuarat Menteri Luar Asean ke-58.
“Jadi kita jangan campur adukkan. Di situ nanti kita rasa kita akan dapat bawakan suara Asean. Untuk kita menegaskan bahawa kita Asean dengan sebulat suara, kita dah berjaya dapatkan kenyataan bersama dari Asean untuk kita menyatakan bahawa Asean amat kesal terhadap kekejaman dilakukan terhadap rakyat Palestin.
“Jadi kita bawa (pendirian ini). Kita jangan campur adukkan, kerana hubungan dua hala tetap kita adakan. Kita yakin Amerika juga terutama Trump juga mahu melihat kekejaman dilakukan oleh israel ini dapat dihentikan,” katanya.