Malaysia Oversight

MP PAS digantung 2 hari

By MkiniBM in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
MP PAS digantung 2 hari


PARLIMEN |Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau hari ini menggantung Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) selama dua hari selepas ahli parlimen itu mencetuskan pertikaman lidah dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Marzuk, yang mencelah ketika Na’im menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13, menuduh menteri berkenaan gagal menjawab secara terus persoalannya sama ada (TH) telah menganugerahkan kontrak penjenamaan semula kepada sebuah syarikat milik bukan Melayu tanpa melalui tender terbuka.

“Soalan TH ini penting…jawapan yang berhormat menteri tergantung, dia pusing.

“Saya tanya dengan mudah, adakah kontrak itu diberi melalui tender terbuka atau rundingan terus,” soal Marzuk, bekas timbalan menteri hal ehwal agama.

Marzuk, yang menegaskan dirinya tidak bersikap “rasis” dalam membangkitkan isu tersebut, menuntut Na’im menjelaskan pelantikan sebuah syarikat bukan Melayu yang ditugaskan antaranya mereka semula logo yang kini memuatkan tulisan Arab “hayya ‘alal falah” atau “marilah menuju kejayaan”.

Marzuk turut menamakan syarikat yang dilantik beserta senarai pemegang saham bukan Melayu, sambil mendakwa dia dimaklumkan terdapat banyak syarikat Melayu-Bumiputera yang menunggu panggilan tender terbuka untuk projek penjenamaan semula itu.

Lau pada awalnya mengarahkan Marzuk keluar dari Dewan Rakyat selama 30 minit namun kemudian mengeluarkan arahan penggantungan dua hari kerana ahli parlimen itu tetap berkeras meneruskan soalannya kepada Na’im.

Dalam ucapan penggulungannya, Na’im mengulangi kenyataan pada Sabtu lalu yang menafikan dakwaan kononnya dana haji itu memperuntukkan kira-kira RM20 juta untuk projek rebranding.

Tabung Haji telah mengeluarkan kenyataan bahawa latihan penjenamaan semula itu bernilai RM5.9 juta dan bukannya RM20 juta seperti yang didakwa, kata Na’im.

Katanya projek penjenamaan semula sepanjang tiga tahun itu akan melibatkan kajian pasaran menyeluruh dan libat urus dengan 9.6 juta pendeposit untuk lebih memahami keperluan mereka.

Dalam sidang media selepas itu, Marzuk sekali lagi menegaskan Na’im gagal menjawab secara terus persoalannya, dan menyifatkan dirinya dihukum secara tidak adil dengan penggantungan tersebut.



Source link