Ahli Parlimen PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mendakwa perdana menteri menyalahgunakan kuasa eksekutif apabila mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penafian Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan pemimpin Bersatu itu menyokong warga asing menerima subsidi minyak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata tindakan Anwar Ibrahim adalah penyalahgunaan kuasa eksekutif serius, yang melibatkan campur tangan politik ke atas badan penguat kuasa yang sepatutnya bertindak bebas dan profesional.
Ahmad Fadhli berkata penafian Muhyiddin tidak membawa sebarang unsur ancaman, penghinaan atau komunikasi tidak wajar yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Seksyen ini hanya terpakai ke atas penyebaran kandungan berbentuk lucah, palsu yang menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu dan tidak meliputi penafian terhadap kenyataan politik yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.
“SKMM bukan alat eksekutif dan tidak boleh diarah sewenang-wenangnya.
“Mengikut Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589), SKMM hendaklah menjalankan fungsinya secara bebas dan tidak tertakluk kepada arahan mana-mana pihak, kecuali jika dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.
“Maka, arahan lisan atau terbuka oleh Perdana Menteri terhadap SKMM berhubung perkara yang menyentuh pertikaian politik peribadi adalah tidak wajar dan menyalahi semangat kebebasan institusi,” kata Ketua Penerangan PAS itu lagi.
Arahan tersebut dikeluarkan semalam selepas Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN menafikan pernah membuat kenyataan seperti yang didakwa dan mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti bahawa dia mempertahankan warga asing dalam isu subsidi tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan, SKMM mengesahkan telah menerima arahan daripada perdana menteri dan memaklumkan akan mengambil tindakan segera.
Ahmad Fadhli berkata arahan kepada SKMM untuk menyiasat kenyataan penafian yang bersifat politik boleh ditafsirkan sebagai suatu penggunaan jawatan bagi memperoleh manfaat politik dan menekan lawan.
Ia katanya berpotensi jatuh di bawah skop Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan awam bagi mendapatkan suapan atau manfaat.
Tambahnya, tindakan Anwar itu juga boleh dilihat sebagai mencabuli hak Muhyiddin sebagai warganegara yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak kebebasan bersuara.
“Malah, Perkara 8(1) menjamin bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang adil. Apabila agensi kerajaan digunakan untuk menyiasat individu atas kenyataan politik yang tidak melanggar undang-undang, maka asas keadilan dan kesaksamaan ini telah dinodai,” katanya lagi.
SPRM wajar siasat PM
Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar membuka siasatan terhadap kemungkinan salah guna kuasa oleh perdana menteri di bawah Seksyen 23 Akta 694.
Seksyen itu merujuk kepada kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Ahmad Fadhli juga mencadangkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil SKMM dan Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan tentang asas dan justifikasi arahan terhadap Muhyiddin itu.
“Hakikatnya, jika ini bukan satu salahguna kuasa, apakah lagi nama yang sesuai? Malaysia adalah negara hukum. Tiada siapa, hatta perdana menteri sekalipun, boleh bertindak sesuka hati menggunakan agensi kerajaan untuk mendiamkan musuh politiknya. Tindakan ini mesti dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan,” katanya.