PARLIMEN | Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan bagaimana kerajaan memilih peruncit bagi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata ramai peniaga kecil khususnya di kampung yang tidak disertakan dalam inisiatif dan menggesa Kementerian Kewangan untuk menjelaskan cara untuk menangani perkara itu.
“Memandangkan penyertaan vendor untuk MyKasih sudah meningkat kepada 8,400 sebagaimana disebut tadi, boleh tak menteri senaraikan siapa sebenarnya luluskan lantikan vendor ini?
“Apakah pemilihan melalui tender terbuka atau terpilih? Apa mekanisme kerajaan untuk pastikan tak ada monopoli dan pemilihan vendor-vendor ini?” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata inisiatif itu terbuka kepada semua peruncit tetapi tertakluk kepada beberapa syarat.
Menurut Lim, peniaga yang ingin turut serta perlu berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM), sedia menerima bayaran menerusi MyKad dan memiliki stok barangan yang tersenarai dalam program MyKasih.

“Mereka mesti patuhi aturan pembayaran Sara, dengan setiap transaksi hendaklah melalui MyKad dan resit mesti disimpan bagi tujuan audit.
“Dan (syarat) kelima…perlu mengambil kira lokasi premis mereka serta bilangan penerima di kawasan tersebut,” katanya.
Katanya lagi, mana-mana peruncit yang ingin menjadi sebahagian daripada inisiatif Sara boleh mengemukakan permohonan melalui laman web MyKasih.
Dia turut menyeru semua anggota Parlimen untuk mengumpulkan senarai peniaga di kawasan masing-masing yang ingin menyertai program itu dan menyerahkan senarai itu kepadanya supaya Yayasan MyKasih dapat melaksanakan proses yang diperlukan.
Lim menegaskan kerajaan komited untuk membantu peruncit dan peniaga kecil memperoleh limpahan ekonomi daripada inisiatif tersebut, sambil memaklumkan jumlah kedai yang menyertai program Sara telah meningkat kepada 8,400 setakat 21 Oktober, berbanding hanya 700 pada tahun lalu.
Laporan oleh Hariz Mohd, Qistina Nadia Dzulqarnain, Dania Kamal Aryf, Shakira Buang






