PARLIMEN | Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) hari ini meminta kerajaan mempertimbang untuk menutup atau menggabungkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai peranan yang bertindih.
Semasa sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, Lee berkata ia akan dapat memperkukuhkan GLC untuk bersaing dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi di peringkat global.
“Lebih baik dapat satu (GLC seperti) TSMC (Taiwan Semiconductor Manufacturing Company) untuk melonjakkan ekonomi negara kita, daripada banyak syarikat yang menjadi pemaju hartanah,” katanya.
Lee juga membangkitkan keperluan untuk menyusun semula peranan GLC agar lebih sejajar dengan keutamaan pembangunan negara.
Dia berkata negara masih belum berjaya menarik pelaburan berskala besar dalam sektor sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi sedangkan ia adalah asas penting bagi ekonomi yang berdaya saing dan lestari.
“Saya masih lihat terdapat banyak GLC, sama ada di persekutuan ataupun negeri, yang menumpukan pelaburan kepada projek hartanah mewah, pembangunan komersial dan lebuh raya.
“Persoalannya, mengapa entiti seperti Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) masih mengutamakan pelaburan dalam projek seperti ini, sedangkan negara amat memerlukan suntikan modal dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti semikonduktor, elektronik, pemprosesan kimia bernilai tinggi, kecerdasan buatan (AI), farmaseutikal, mesin, automasi dan teknologi hijau.
“Maka, saya ingin mencadangkan perlunya ada kajian menyeluruh, dan kemudian satu pelan susulan RMK13 yang mengeluarkan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) persekutuan dan negeri daripada bidang hartanah perumahan dan komersial secara berperingkat dalam tempoh lima tahun,” katanya lagi.
Pada Oktober 2024, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) bagi menangani pertindihan peranan dalam badan berkanun dan juga GLC.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa itu dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon dan akan dipantau Unit Pemantau Madani.
“Apakah masalah yang memaksanya menjana pertumbuhan, berdaya maju secara komersial tetapi di samping itu memenuhi agenda negara,” katanya seperti dipetik.
Mengulas lanjut, Lee berkata GLC dan GLIC harus diberi mandat pembangunan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang berorientasikan eksport.
“Mereka juga boleh diberikan mandat untuk membangunkan perumahan sosial, khususnya di bandar, serta membangunkan taman industri untuk tujuan penarikan pelaburan teknologi.
“Pelaburan awam melalui GLC sepatutnya dimanfaatkan untuk mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi, bukannya semata-mata untuk mengembangkan aset komersial yang kurang menyumbang kepada keutamaan pembangunan negara,” katanya lagi.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri dan B Nantha Kumar