Malaysia Oversight

MP Kota Belud gesa SPRM bersuara isu skandal rasuah terbaru Sabah

By MkiniBM in July 30, 2025 – Reading time 2 minute
MP Kota Belud gesa SPRM bersuara isu skandal rasuah terbaru Sabah


Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis menggesa SPRM bersuara berhubung dakwaan rasuah terbaru yang melanda Sabah, sambil menambah perkara itu telah mencemarkan imej pentadbiran negeri.

“Saya juga ingin tujukan soalan kepada SPRM, adakah kamu sudah buat siasatan ke atas pendedahan baharu daripada Malaysiakini ini?

“Mengapa setakat ini tiada satu pun ulasan daripada SPRM? Apa lagi kamu mahu tunggu?” soalnya dalam satu kenyataan.

Pada 24 Julai, MalaysiaNow menerbitkan klip audio yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa lesen cari gali arang batu di Sabah telah diluluskan untuk syarikat yang dikaitkan dengan bekas pembantu Perdana Menteri Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Menurut laporan itu, rakaman itu didakwa dirakan dalam mesyuarat pada Mei 2024 melibatkan lembaga Sabah Mineral Management (SMM), yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.

Klip itu telah dimuat naik ke YouTube dan TikTok.

MalaysiaNow mendakwa rakaman itu membuktikan Hajiji telah menyuarakan sokongan terhadap syarikat itu – Bumi Suria Sdn Bhd – dikaitkan dengan Farhash meski setiausaha negeri Safar Untong dikatakan menimbulkan kebimbangan.

“Tetapi kawasan itu terlalu besar, Datuk Seri, 70,000ha,” kedengaran satu suara, yang dikaitkan dengan Safar.

Bagaimanapun, suara lain – yang didakwa oleh laporan itu adalah milik Hajiji – menjawab: “Yang penting kita luluskan dulu, urus kemudian.”

Pada 21 Julai, apabila dakwaan itu mula timbul, SMM berkata tiada mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash diberikan lesen mencari gali di negeri itu.

Farhash juga mengeluarkan penafian, serta surat undang-undang terhadap MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Isnaraissah berkata rakyat Sabah masih lagi terkejut dengan dakwaan sebelum ini yang dibuat oleh pemberi maklumat, yang melibatkan beberapa Sabah.

“Pendedahan ini, betulkah, tidak betulkah, ini sangat-sangat memalukan kita, orang Sabah.

“Seolah-olah tempat kita ni dijadikan lubuk untuk perasuah-perasuah dan lebih malang dan jika benar, keseluruhan pimpinan negeri sekarang telah rosak,” katanya.

Pemimpin Warisan itu juga mempersoalkan identiti “individu paling berkuasa” dari semenanjung, yang nampaknya terlepas daripada radar pihak berkuasa.

“Siapa bah dia ni? Apa bah kerja dia ni sehingga diberikan layanan begitu istimewa? Mula-mula kata tidak terlibat, tetapi bila didedahkan minit, audio dan sebagainya, lari dari media,” kata Isnaraissah.

Dia kemudian menggesa pihak berkuasa untuk tidak berat sebelah dan menyiasat dakwaan itu dengan segera.

“Kiri kanan, depan belakang, darat, laut, hasil Sabah seolah-olah

dijadikan lubuk untuk kaut harta kekayaan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Apa rakyat Sabah dapat?

“Sekali lagi saya mahu ingatkan pada pihak berkuasa, jangan pilih bulu, ada kes, ada dakwaan, ada pendedahan, siasat. Siapa pun kamu, siasat. Siasat dengan segera,” tegasnya.



Source link