PARLIMEN | Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang menyatakan sokongan padu terhadap cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mereformasikan pembangunan tanah di Kuala Lumpur.
Mereka berpendapat perlu ada mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh dalam pengurusan ibu kota, sambil menzahirkan kebimbangan terhadap kuasa mutlak yang dimiliki oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) menegaskan undang-undang yang mengawal selia pentadbiran Wilayah Persekutuan menyebabkan wakil rakyat tiada suara.
Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai lembaga penasihat dianggotai pakar dan wakil politik yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, Nik Nazmi berkata lembaga itu hanya berperanan memberi nasihat kepada Datuk Bandar.
“Ini berbeza dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain yang ada sistem majlis, dengan Datuk Bandar menjadi first among equals (ketua dalam kalangan setaraf), sama seperti Perdana Menteri dalam Kabinet atau Menteri Besar di peringkat negeri.
“Tetapi di Kuala Lumpur, di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan (Akta 267) dan juga akta-akta lain yang berkaitan, Datuk Bandar memegang kuasa penuh.
“Jika dapat Datuk Bandar yang baik dan bagus, alhamdulillah. (Jika) dapat Datuk Bandar yang sebaliknya, kita berdepan masalah,” kata Nik Nazmi.

Terdahulu, timbalan pengerusi PAC Teresa Kok (PH-Seputeh), membentangkan laporan dan cadangan PAC, yang antara lain menggesa kerajaan mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam perancangan tanah di Kuala Lumpur berikutan kebimbangan dalam soal ketelusan dan integriti.
Antaranya, PAC mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa tetap bagi memantau isu tanah, termasuk yang berkaitan dengan pemilikan dan pembangunan.
Kok berkata jawatankuasa itu harus melibatkan anggota Parlimen di Kuala Lumpur, memandangkan pandangan mereka sebagai wakil kawasan sebelum ini tidak diambil kira oleh jawatankuasa eksekutif tanah.
Dakwaan ketirisan, salah laku
Menyentuh isu tanah, bekas menteri itu mendakwa anggota Parlimen di Kuala Lumpur tiada kuasa sebelum keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Turut menyokong cadangan mengubah kerangka DBKL kepada sistem majlis ialah Azman Nasrudin (PN-Padang Serai).

“Tiada mekanisme semak dan imbang yang kukuh kerana tiada peruntukan untuk (pewujudan) ahli majlis DBKL dalam Akta 267. Ini berbeza dengan PBT lain yang ada ahli majlis.
“Jadia kuasa ini tertumpu kepada veto Datuk Bandar (Kuaal Lumpur) tanpa pengawasan yang efektif daripada pihak yang berkaitan,” katanya.
Anggota Parlimen Bersatu itu turut membangkitkan beberapa isu berhubung kelulusan pembangunan tanah dan penjualan tanah kerajaan di Kuala Lumpur.
Antaranya, Azman berkata kerajaan rugi lebih RM14 juta apabila sebidang tanah di Taman Desa dijual pada harga RM1.9 juta sedangkan harga pasaran dianggarkan RM16 juta.
Tanah rizab kerajaan, termasuk yang berfungsi sebagai kolam takungan banjir, turut dijual kepada pemaju walaupun mendapat bantahan pihak berkepentingan, katanya.
“(Ada juga) ketirisan dalam proses tender dan rundingan terus, di mana tanah kerajaan sering dijual melalui rundingan terus dan bukan tender terbuka.
“Contohnya tanah di Lot 481453 Desa Seri Hartamas, yang dijual di bawah harga pasaran tanpa tender (terbuka),” katanya lagi.
Tindakan tegas
Sementara itu, Shahidan Kassim (PN-Arau) menggesa PAC mengesyorkan tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam dakwaan salah laku tersebut.
Katanya, PAC mendedahkan kerugian kerajaan berjumlah ratusan juta ringgit tetapi cadangannya tidak menyentuh usaha untuk mendapatkan semula wang berkenaan.
“Cuma cerita (soal) rugi tapi apa tindakannya?
“PAC adalah harapan kami yang terakhir, harapan rakyat Malaysia. Jadi PAC kena buat yang terbaik dan kena tengok betul-betul cara mereka melakukan kerja (dalam soal tanah di Kuala Lumpur),” katanya lagi.