Malaysia Oversight

MP Kepong mahu salur sumbangan orang ramai kepada badan kebajikan

By MkiniBM in September 30, 2025 – Reading time 2 minute
MP Kepong mahu salur sumbangan orang ramai kepada badan kebajikan


Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berhasrat menyalurkan semua sumbangan yang diterima dalam kes saman fitnah terhadapnya kepada badan-badan kebajikan di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata perkara itu akan dilakukan dengan penuh ketelusan dan direkodkan secara terbuka.

“Apabila dihadapkan dengan perintah membayar pampasan yang tinggi dari Mahkamah Tinggi dan tarikh akhir yang singkat, saya meminta bantuan rakyat Malaysia. Sokongan anda membolehkan saya menangguhkan pelaksanaan dan memfailkan rayuan, yang merupakan satu langkah penting.

“Langkah ini bukan sekadar perjuangan undang-undang peribadi, tetapi juga bukti nilai-nilai yang kita kongsi bersama,” kata Lim.

Pada 29 Sept, Mahkamah Rayuan mengurangkan ganti rugi dan kos yang perlu dibayar Lim kepada firma e-dagang MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Jessy Lai, atas saman fitnah yang difailkan terhadapnya daripada RM2.5 juta kepada RM125,000

Panel tiga haklim yang dikegtuai Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bahawa jumlah yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah terlalu tinggi.

Pada 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memerintahkan Lim membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am kepada MonSpace dan RM1 juta kepada Lai, serta RM500,000 bagi setiap ganti rugi teruk. Lim juga diarahkan membayar RM250,000 kos guaman.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi tiga tahun lalu, Lim berjaya mengumpulkan RM2 juta daripada orang ramai, dengan lebihan RM250,000 disimpan oleh firma guaman pihak plaintif sementara menunggu rayuan.

Hari ini, ahli Parlimen DAP itu berkata sebaik sahaja dia menerima dana daripada peguam pihak lawan, sumbangan tersebut beserta faedah terkumpul akan diserahkan kepada organisasi terpilih, termasuk Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan.

“Sekarang, dengan misi undang-undang ini selesai, saya ingin nyatakan dengan jelas: RM125,000 bagi ganti rugi dan kos akan dibayar sepenuhnya daripada dana saya sendiri. Tidak sesen pun daripada sumbangan ikhlas anda akan digunakan untuk tujuan ini,” katanya

Lim turut mengeluarkan laporan diaudit bertarikh 30 Mei 2023, yang memperincikan jumlah keseluruhan yang diterima dalam akaun klien peguamnya semasa kempen sumbangan yang dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dengan menyifatkan solidariti mereka sebagai “sumber kekuatan terbesar” bagi keluarganya dan sebagai peringatan kepada tanggungjawabnya untuk “sentiasa bersuara tanpa rasa takut atau pilih kasih.”



Source link