Seorang ahli parlimen DAP mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan kejadian pelajar Tingkatan Empat ditikam di sekolah baru-baru ini serta pengakuan Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad bahawa banyak kes gangguan seksual dan buli di sekolah telah “disimpan di bawah permaidani”.
Dalam surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin menegaskan bahawa sekolah harus menjadi tempat paling selamat untuk kanak-kanak menimba ilmu – bukannya lokasi yang mengancam nyawa dan kesejahteraan mereka.
Insiden di sebuah sekolah di Petaling Jaya semalam, tambah Chong, memberi amaran bahawa krisis keselamatan pelajar telah mencapai tahap kritikal dan memerlukan campur tangan segera oleh Parlimen.
“Lebih membimbangkan, Ketua Pengarah Pendidikan mengakui secara terbuka bahawa banyak kes buli dan gangguan seksual di sekolah selama ini disapu bawah karpet, menandakan wujudnya budaya menyorokkan kesalahan dan kegagalan sistematik dalam pengurusan disiplin dan keselamatan pelajar,” kata ahli parlimen itu dalam surat bertarikh hari ini.
Dia menegaskan bahawa kenyataan Azam menunjukkan “kelemahan serius” dalam aduan, pemantauan dan mekanisme susulan yang digunakan oleh sekolah dan Kementerian Pendidikan dalam pengendalian kes buli, penderaan dan gangguan seksual.
“Ia juga menunjukkan keperluan mendesak untuk semakan semula prosedur keselamatan, sistem kaunseling pelajar dan latihan guru bagi menangani isu disiplin dan keselamatan pelajar dengan lebih menyeluruh,” tambahnya.
Chong berhujah bahawa usul itu amat penting kerana Dewan Rakyat perlu mendesak untuk mengkaji semula garis panduan keselamatan sekolah dan prosedur penyeliaan pelajar.
Menyeru penubuhan suruhanjaya siasatan bebas mengenai keselamatan sekolah dan budaya buli, usul itu juga menggesa penggubalan dasar perlindungan pelajar yang lebih kukuh, termasuk mekanisme aduan yang selamat dan bebas, serta langkah untuk memastikan tanggungjawab penuh Kementerian Pendidikan bagi setiap kes penderaan, buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan.
Ketika dihubungi, Chong berkata speaker Dewan Rakyat dijangka menyampaikan keputusannya mengenai usul itu minggu depan.
Semalam, Azam dilaporkan berkata bahawa dalam tempoh tiga bulan memegang portfolioya, dia telah mengumpul “banyak data” mengenai gangguan seksual dan kes buli yang “disimpan di bawah karpet”.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan berita seorang pelajar berusia 16 tahun maut ditikam rakan sekelasnya yang berusia 14 tahun, dengan laporan media menyatakan cinta tidak berbalas antara aspek yang disiasat dalam kes itu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar mengesahkan bahawa suspek dalam kes itu tidak pernah meluahkan perasaannya terhadap mangsa, sambil menyatakan bahawa siasatan masih dijalankan secara menyeluruh.
Sambil mengesahkan bahawa suspek telah membeli senjata – tiga pisau – termasuk kerambit, dalam talian, Shazeli juga berkata bahawa pengaruh media sosial dan pencetus emosi adalah faktor yang mungkin di sebalik serangan suspek.






