Empat ahli parlimen India daripada MIC, DAP, dan PKR hari ini membidas Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung keputusannya untuk tidak mendakwa penceramah agama Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.
Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan; Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau (DAP); bersama Ahli Parlimen PKR, P Prabakaran (Batu) dan S Kesavan (Sungai Siput) mengadakan sidang media bersama di parlimen untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.
Ahli-ahli parlimen tersebut menolak penjelasan AGC mengenai “bukti yang tidak mencukupi”, dengan menegaskan banyak laporan polis telah difailkan terhadap kedua-dua individu terbabit.
Mereka menyentuh kewujudan klip video, kenyataan awam dan kandungan media sosial yang menurut mereka boleh menjadi bukti yang jelas.

“Bahan-bahan ini bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang orang ramai malah mengandungi unsur-unsur penghinaan dan hasutan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Keputusan ini amat mendukacitakan dan memberi kesan layanan terpilih apabila individu tertentu terlibat, sekali gus menjejaskan prinsip keadilan dan kesaksamaan di bawah undang-undang yang negara ini pegang teguh,” kata mereka.
Mereka juga menegaskan undang-undang mesti digunakan secara saksama, tanpa rasa takut atau pilih kasih. Sebarang perbuatan yang menghina, menimbulkan kebencian atau menyemai perpecahan berdasarkan kaum atau agama kata ahli parlimen berkenaan, mesti ditangani dengan tegas tanpa mengira siapa pelakunya.
“Kami menyeru AGC untuk menyemak secara objektif keputusan ini berdasarkan bukti yang dilaporkan dan tersedia, untuk memelihara kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan negara,” kata mereka.

Saravanan turut mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi), Azalina Othman Said, menyatakan kekecewaan terhadap cara perkara itu disampaikan.
“Kami adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang menyokong pentadbiran Kerajaan Madani, tetapi kami menghadapi pelbagai cabaran dengan masyarakat India.”
“Menteri mesti peka terhadap isu-isu seperti ini, kerana mereka berisiko menyinggung perasaan masyarakat India. Harapan kami ialah menteri itu akan mengadakan perbincangan dengan kami terlebih dahulu untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai perkara tersebut.
“Pengumuman secara tiba-tiba seperti ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India,” katanya.

Sebelum ini, Azalina mengesahkan AGC menyatakan tiada keterangan yang mencukupi untuk mendakwa penceramah Zamri dan Firdaus.
Azalina berkata keputusan itu dibuat AGC selepas pihak polis menghantar kertas siasatan melibatkan kedua-dua individu berkenaan.
Terdahulu, Zamri disiasat selepas dituduh menghina agama Hindu dengan membandingkan pembawa kavadi sempena Thaipusam dengan individu mabuk atau dirasuk.
Dia juga pernah ditahan pihak berkuasa pada Mac lalu berhubung hantaran Facebook mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur, selepas menggambarkan jawatankuasa kuil sebagai pihak yang “mencuri” tanah.
Bagi kes Firdaus pula, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal bulan ini memutuskan videonya – yang mempromosikan penukaran agama secara rahsia melibatkan kanak-kanak bawah umur – sebagai tidak sah dan melanggar Perlembagaan.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, Azalina bagaimanapun menjelaskan kes tersebut tidak dianggap berakhir kerana kes jenayah, tidak seperti kes sivil, tidak tertakluk kepada had masa.