Malaysia Oversight

MP DAP ‘pujuk’ komuniti India

By MkiniBM in August 11, 2025 – Reading time 3 minute
MP DAP 'pujuk' komuniti India


PARLIMEN | Seorang ahli parlimen DAP menegaskan tetap mengambil tindakan terhadap isu yang membabitkan rakyat walaupun ia tidak dibangkitkan secara terbuka di Parlimen, dengan merujuk kepada keputusan terbaharu yang mencadangkan sukan seni mempertahankan diri masyarakat India, silambam, dikekalkan untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

RSN Rayer berkata, selepas berita mengenai pengecualian silambam daripada senarai acara Sukma tersebar di media sosial minggu lalu, ada pihak yang pantas “menyerang dan mengkritik” Persekutuan dan kerajaan negeri atas dakwaan meminggirkan komuniti India.

Ahli Parlimen Jelutong itu mendakwa pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan isu tersebut untuk menimbulkan kebencian dan sentimen perkauman, khususnya dalam kalangan masyarakat India, termasuk mengkritik pemimpin kerajaan kerana tidak membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.

Antara yang menjadi sasaran kritikan, katanya, termasuk dirinya, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy, serta Exco V Papparaidu.

“Kami ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa tidak semestinya setiap kali ada kekurangan, kita perlu hentak meja dan mengkritik kerajaan secara terbuka di parlimen.

“Terdapat cara dan pendekatan lain yang boleh digunakan. Sebenarnya, apabila kami menerima maklumat bahawa isu ini telah tular, ia terus dibawa kepada perhatian kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

“Hari ini adakan sidang media untuk maklumkan rakyat bukan perlu selalu hentam meja dan meluahkan perkara-perkara yang menhentamkan kerajaan di parliamen kalau ada apa-apa perkara yang kekurangan.

“Terdapat cara-cara atau pendekatan lain yang boleh digunakan,” katanya.

Rayer berkata apabila ahli parlimen DAP menerima maklumat isu berkenaan telah tular, pihaknya terus membawa kepada perhatian kepada kerajaan Persekutuan dan Selangor.

Sidang media itu turut dihadiri Saraswathy, Papparaidu, Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Rayer memuji keputusan kerajaan Selangor mencadangkan penyertaan semula silambam dalam Sukma 2026 sebagai contoh bagaimana kerajaan Persekutuan dan negeri mendengar keluhan rakyat dan mengambil langkah positif bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui.

“Yakinkan warganegara Malaysia, terutama yang berbangsa India, untuk terus sokong Kerajaan Perpaduan yang didokong YAB perdana menteri, yakinlah jika terdapat kekurangan atau masalah dihadapai rakyat, walaupun tak disuarakan dalam parlimen, ada perbincangan yang dilakukan oleh kita.

“(Ini) melalui menteri-menteri, timbalan menteri-timbalan menteri, exco, untuk pastikan masalah diberi perhatian,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Urimai P Ramasamy, mengkritik Yeoh susulan pengecualian silambam daripada Sukma 2026.

“Jika ini bukan isu perkauman, maka apa lagi,” bidas bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu.

Di tengah kecaman, Yeoh menjelaskan sukan muay thai juga tidak dipilih untuk temasya itu namun mengakui terkilan denganpengecualian silambam.

Yeoh semalam menggesa orang ramai agar tidak menjadikan pengecualian silambam daripada Sukma 2026 sebagai isu perkauman dan menegaskan bahawa keputusan itu hak mutlak negeri penganjur.

]Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi, berkata cadangan memasukkan semula acara petanque, muay thai dan silambam bagi Sukma 2026 akan dibentangkan kepada majlis tertinggi temasya itu.

Bagaimanapun, katanya, kelulusan bergantung pada persetujuan semua wakil negeri dalam mesyuarat majlis yang dipengerusikan Yeoh.

Silambam mula diperkenalkan dalam Sukma pada edisi 2008 dan diteruskan pada 2010, 2011 dan 2013 sebelum digugurkan. Ia kembali sebagai acara pertunjukan pada 2022 dan dianjurkan semula sebagai acara berpingat pada 2024.

Sukma 2026 akan berlangsung di sembilan daerah di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan.



Source link