Seorang ahli parlimen DAP mencabar Pejuang untuk membuktikan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah kehilangan keyakinan rakyat dengan meminta sekutu mereka daripada Perikatan Nasional menggerakkan usul undi tidak percaya di Parlimen.
Ini susulan kenyataan Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali awal hari ini, yang mendakwa Anwar takutdengan kebangkitan rakyat menentang ketidakcekapan kerajaannya.
Syahredzan Johan, yang juga Ahli Parlimen Bangi, berkata dia percaya dakwaan Rafique itu hanyalah cubaan pembangkang untuk menutup kegagalan mereka meraih sokongan rakyat untuk menjatuhkan kerajaan melalui perhimpunan ‘Himpunan Turun Anwar‘ sebelum ini.
“Pejuang sendiri tidak boleh masukkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri kerana mereka tidak mempunyai ahli parlimen.
“Tetapi jika Pejuang benar-benar mahu menunjukkan Anwar sudah hilang sokongan, mereka bolehlah meminta sekutu mereka Perikatan Nasional (PN) untuk masukkan usul, seperti yang diwar-warkan sebelum ini.
“Jika tidak, mereka hanya omong kosong seperti biasa,” kata ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP itu.

Terdahulu, Rafique mengecam arahan perdana menteri supaya agensi penguatkuasaan undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencetuskan kebencian di negara ini.
Dia mempersoalkan masa dan logik di sebalik arahan Anwar itu, dan mendakwa perdana menteri bimbang dengan ‘kebangkitan’ rakyat terhadap kepimpinannya.
Menjawab perkara itu, Syahredzan berkata dia hairan mengapa Rafique menentang tindakan itu.
Menurutnya, Pejuang sepatutnya menyokong apa yang cuba dilakukan oleh Anwar kerana perdana menteri telah menjelaskan dengan jelas bahawa ia adalah untuk memastikan ketenteraman awam.
“Sepatutnya dalam hal berkenaan dengan keamanan dan ketenteraman awam, hal berkenaan dengan penyatupaduan rakyat dan menghindari perpecahan, parti-parti politik harus bersatu.
“Malangnya, disebabkan politik sempit, parti seperti Pejuang menjadikan kenyataan perdana menteri sebagai modal politik,” tambahnya.