Malaysia Oversight

MP DAP cabar PAS ajar Tamil, Mandarin di Pasti dahulu

By MkiniBM in September 14, 2025 – Reading time 2 minute
MP DAP cabar PAS ajar Tamil, Mandarin di Pasti dahulu


Jika benar Tuan Ibrahim Tuan Man ikhlas dengan cadangan supaya bahasa Tamil dan Mandarin dijadikan subjek di sekolah kebangsaan, dia wajar terlebih dahulu melaksanakannya di pusat prasekolah , iaitu Pasti.

Demikian kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng ketika mengulas cadangan daripada timbalan presiden itu.

“Jangan hanya pandai berucap di pentas, tetapi gagal mengamalkan di gelanggang sendiri,” kata Lim dalam kenyataan.

Lebih mengejutkan, kata Lim, Tuan Ibrahim seolah-olah tidak tahu bahawa Bahasa Cina dan Bahasa Tamil sudah lama ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan di sekolah kebangsaan.

“Cadangan ini jelas membuktikan beliau tidak memahami sistem pendidikan sedia ada, atau lebih buruk, sengaja mahu memainkan sentimen perkauman dengan menimbulkan isu yang tidak wujud.

“Persoalan utama kini ialah: adakah ini pendirian rasmi atau sekadar pandangan peribadi Tuan Ibrahim? Jika ini hanya retorik peribadi, janganlah mempergunakan isu pendidikan untuk meraih perhatian. Jika ini benar-benar dasar baru PAS, sila nyatakan dengan jelas dan buktikan pelaksanaan segera di Pasti.

“Janganlah isu pendidikan anak-anak kita dijadikan bahan politik murahan,” katanya.

Pada Muktamar PAS semalam, Tuan Ibrahim mencadangkan agar bahasa Cina dan Tamil diperkenalkan kepada semua murid di sekolah kebangsaan, dengan mengatakan ia mampu memupuk perpaduan nasional serta mengikis rasa curiga antara kaum.

bf0414d04382bc18e552e9f3780ad323

Dia menegaskan bahawa langkah ini akan membolehkan rakyat Malaysia memahami bahasa dan budaya antara satu sama lain, seterusnya mengukuhkan hubungan kaum.

“Kita mesti tampil sebagai parti yang menyelesaikan masalah, bukan sekadar membangkitkan masalah. Semua pihak tahu masalahnya, tetapi apa penyelesaiannya? Jadi, kalau kita boleh tangani setiap permasalahan yang berlaku dan tunjukkan mekanisme untuk menyelesaikannya… Seperti yang saya sebut tadi, soal perpaduan. Kenapa timbul sensitiviti antara kita?

“Sebabnya ialah kita curiga-mencurigai antara satu sama lain. Halangan bahasa adalah salah satu puncanya. Orang Melayu, bila orang Cina bercakap dalam bahasa mereka, dia tidak faham. Dia mungkin rasa curiga, walaupun sebenarnya mereka tidak bercakap apa-apa yang negatif,” katanya.



Source link