PARLIMEN | Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan audit terhadap pemasangan Jalur Gemilang di semua agensi kerajaan dan sekolah.
Gesaan itu susulan beberapa kesilapan melibatkan bendera negara yang mencetuskan kritikan awam.
Halimah Ali (dalam ucapan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap perkara itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
“Bendera Malaysia sangat jelas susun aturnya, bulan kat mana, bintang kat mana.
“Tiada alasan (untuk dipasang) tunggang terbalik. (Namun) isu bendera terbalik ini berulang-ulang (berlaku).
“(Kerajaan) auditlah semua jabatan dan agensi kerajaan, termasuk sekolah yang dibiayai kerajaan. Perlu ambil tindakan tegas yang bermakna,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ahli Parlimen PAS itu membangkitkan pengalamannya ketika melawat China, yang menurutnya tidak berdepan masalah sedemikian dengan adanya Undang-undang Bendera Kebangsaan 1990.
“Saya baru balik dari China, saya tengok tiada satu pun bendera yang dipasang terbalik. Mereka ada National Flag Law of PRC (People’s Republic of China) 1990.
“Berapakah kes pemasangan bendera secara terbalik di Malaysia yang telah diambil tindakan di bawah Akta 414, yakni Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963, atau mana-mana akta berkaitan?” soalnya lagi.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, and Haspaizi Zain