Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNG) dan Proton Holdings Bhd menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk melengkapkan semua unit Proton X50 serba baru dengan tag pengecaman frekuensi radio (RFID) Touch ‘n Go pada peringkat pengeluaran.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen mereka untuk menyediakan pengalaman memandu yang lebih pintar dan selesa kepada pelanggan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Praba Sangarajoo berkata kerjasama itu akan mewujudkan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan dan menjadikan pergerakan setiap hari terasa lebih mudah, lebih pantas dan lebih intuitif.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Zhang Qiang berkata kerjasama dengan TNG sejajar dengan slogan Proton X50 iaitu Intelligence That Amazes, dan menambah ciri itu mungkin diperluaskan kepada model Proton yang lain.
“Kami berhasrat untuk meningkatkan kepuasan pelanggan, dan kami fikir ini merupakan salah satu daripada langkah yang boleh dipertimbangkan untuk mencapai matlamat itu,” katanya.
MoU itu dimeterai oleh Praba dan Qiang, sambil disaksikan oleh Pengarah Jualan TNG Jarrod Wong dan Ketua Jualan Proton Edar Ong Chee Wooi.
Dilancarkan pada 24 Julai, Proton X50 terbaru menampilkan reka bentuk semula dalaman dan luaran baru, teknologi kesambungan yang dikemas kini dan enjin pengecas turbo i-GT 1.5 liter.
Menurut Proton, 2,000 unit diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh tiga minggu selepas pelancarannya, dan lebih 140,000 unit model X50 terdahulu berjaya dijual sejak penampilan sulungnya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.touchngo.com.my dan www.proton.com.
– Bernama