Malaysia Oversight

MOT cadang pajakan tanah kilang MSM Prai dilanjutkan 10 tahun

By MkiniBM in September 20, 2025 – Reading time 2 minute
MOT cadang pajakan tanah kilang MSM Prai dilanjutkan 10 tahun


Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membawa cadangan untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah kilang penapisan gula milik Malaysia Holdings Berhad (MSM Prai) di Perai selama 10 tahun lagi ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kilang yang kini beroperasi di atas tanah pajakan milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu tidak akan diminta berpindah atau menghentikan operasi serta-merta, sebaliknya akan diberi tempoh mencukupi.

Beliau berkata perkara itu susulan rancangan pembangunan semula Kampung Manis, lokasi kilang berkenaan, dengan penduduk setinggan di kawasan itu akan diberikan perumahan secara percuma berikutan persekitaran kediaman mereka agak usang.

“Tidak timbul soal kilang itu akan ditutup serta-merta. Sekurang-kurangnya akan mengambil masa 10 tahun untuk dipindahkan (kilang berkenaan), jadi saya rasa agak munasabah bahawa kilang itu diberikan masa tetapi mereka juga kena bekerjasama dengan kita.

“Kalau mereka tak nak pindah selama-lamanya, maka kawasan itu tidak boleh dibangunkan. Kita faham akan ada cabaran operasi, jadi saya tak minta mereka pindah serta-merta bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Cawangan Seberang Jaya dan Penyampaian Tajaan Lindung Kendiri di PERKESO Pulau Pinang di Seberang Jaya di Butterworth hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Mengulas lanjut, Loke berkata pajakan tanah kilang yang beroperasi sejak 1964 itu telah tamat pada 30 Nov 2024 dan pihak akan memberikan tempoh kepada pihak pengurusan kilang berkenaan untuk merancang pemindahan ke lokasi lain kerana pembangunan semula kawasan tersebut juga dilakukan secara berfasa.

Beliau berkata perancangan pembangunan semula Kampung Manis juga selari dengan visi MADANI dan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim untuk menyediakan perumahan yang lebih baik kepada semua lapisan masyarakat.

“Jadi, kita mempunyai perancangan untuk membangunkan semula Kampung Manis itu dengan kerjasama pihak swasta dan proses RFP (Permintaan Untuk Cadangan) oleh pemaju swasta telah pun dimulakan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Pada 17 Sept, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya akan berunding dengan Pulau Pinang dan RAC bagi mempertimbangkan lanjutan tempoh pajakan tanah kilang penapisan gula terbesar negara itu.

MSM bertanggungjawab membekalkan 24,000 tan gula setiap bulan dan mengekalkan stok penimbal negara sebanyak 32,000 tan gula kasar dan halus bagi memastikan bekalan konsisten di pasaran tempatan.

– Bernama



Source link