PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) melancarkan ‘Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025′ yang bakal berlangsung dari 3 hingga 5 November di Kuala Lumpur.
Persidangan ini akan menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk syarikat pemula, pelabur dan penggubal dasar dari negara anggota ASEAN dan seluruh dunia.
Bertemakan ‘Scaling Startups Beyond Borders’, acara ini merupakan persidangan syarikat pemula teknologi pertama ASEAN yang diadakan di bawah Kepengerusian Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata syarikat pemula memainkan peranan penting mencipta pekerjaan namun masih berdepan halangan untuk berkembang merentasi sempadan.
“Sidang kemuncak ini ialah maklum balas kolektif untuk menurunkan halangan itu dan mendorong syarikat tempatan bertanding di pentas global,” katanya semasa pelancaran sidang kemuncak.
Chang menekankan bahawa matlamat utama persidangan ini bukan untuk menjana keuntungan sebaliknya bertujuan menggalakkan kerjasama dan pertumbuhan serantau.
“Objektif utama adalah untuk menghubungkan semua syarikat pemula, pengasas, pemilik dan juga pelabur di bawah satu platform,” jelasnya.
Beliau menambah sidang kemuncak itu memudahkan rangkaian merentasi negara dan peluang pembiayaan untuk syarikat pemula ASEAN.
“Ketersambungan dan rangkaian adalah penting kerana ASEAN sebagai sebuah rantau mempunyai ekosistem syarikat pemula yang lebih berciri tanpa sempadan,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke berkata keunikan sidang kemuncak ini terletak pada cara ia melibatkan pihak berkepentingan utama ekosistem.
“Kita bukan sahaja menyatukan mereka tetapi mengatur hubungan yang mungkin mengambil masa lama untuk dibina,” katanya.
Beliau menambah sidang kemuncak ini direka untuk memberi pengasas momentum yang diperlukan untuk melangkaui sempadan.
Sidang kemuncak akan dibuka dengan sesi IGNITE di Lembah Warisan yang menonjolkan syarikat pemula tempatan Malaysia.
Hari kedua menampilkan sesi CONNECT di JioSpace yang diubah menjadi pasaran inovasi dinamik.
Hari terakhir ialah sesi ELEVATE di Zepp yang menghimpunkan pakar dan cendekiawan Asia Tenggara menerusi pelbagai aktiviti.
Pendaftaran bagi sidang kemuncak itu telah bermula awal September dan peserta boleh mendaftar di laman web rasmi Cradle. – Bernama






