TAWAU: Program Jejak Inovasi Sosial Zon Sabah di Kalabakan menjadi bukti komitmen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dalam memastikan sains, teknologi dan inovasi (STI) dapat dimanfaatkan rakyat semua peringkat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pendekatan itu selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, keberdayaan dan keterangkuman.
“Mosti mahu rakyat bukan sekadar pengguna, tetapi juga pencipta dan penyumbang kepada penyelesaian berteraskan teknologi,” katanya pada program Jejak Inovasi Sosial Zon Sabah di Kalabakan anjuran kementerian itu bersama YIM di Kalabakan, di sini, semalam.
Jelasnya, program tersebut dilaksanakan melalui empat fasa utama iaitu mengenal pasti isu komuniti, membangunkan inovasi melalui platform seperti MaGRIs, MyIS Akar Umbi dan Youth Innovative Challenge, membudayakan STI kepada masyarakat serta memperluas produk inovasi sosial yang berjaya ke komuniti lain.
Katanya, Sabah berpotensi besar menjadi model transformasi teknologi yang mampan berteraskan komuniti, selari dengan kekayaan budaya dan keusahawanan negeri itu.
“Saya amat menghargai kerjasama erat kerajaan negeri Sabah dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi berteraskan STI serta memberi ruang kepada inovasi sosial berkembang,” tambahnya.
Program itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, institusi pendidikan serta rakan strategik bagi membudayakan inovasi sosial berlandaskan prinsip “Daripada Masyarakat, Untuk Masyarakat”.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, program itu merupakan kesinambungan inisiatif Jejak Inovasi yang diperkenalkan sejak 2011, namun kali ini diberi nafas baharu berasaskan metodologi 4D (Discover, Develop, Disseminate dan Diffuse).
Katanya, sepanjang program yang dijalankan di Kedah, Kelantan, Selangor, Melaka dan Terengganu sebelum ini, pelbagai isu berjaya dikenal pasti, antaranya masalah bekalan air bersih, pencemaran sungai, pengurusan sampah serta cabaran meningkatkan pendapatan penduduk setempat. – UTUSAN