Malaysia Oversight

‘Mohon perlindungan macam buat pinjaman bank, tak dijamin lulus’

By MkiniBM in July 24, 2025 – Reading time 2 minute
'Mohon perlindungan macam buat pinjaman bank, tak dijamin lulus’


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran menyamakan permohonan perlindungan untuk pemberi maklumat dengan membuat pinjaman bank, iaitu ia perlu mematuhi prosedur yang telah ditetapkan. 

Kulasegaran berkata demikian ketika mengingatkan ahli perniagaan Albert Tei, bahawa peraturan itu akan membantu pihak berkuasa menentukan jika perlindungan boleh diberikan kepada pemberi maklumat.

Ia selepas Tei memohon agar perlindungan diberikan kepadanya, selepas bersedia menamakan pegawai tinggi SPRM yang didakwa memberi amaran kepadanya agar tidak mendedahkan skandal perlombongan Sabah.

Kulasegaran sekali lagi menggesa Tei untuk membuat laporan polis terhadap pegawai SPRM yang didakwa mengugutnya.

“Anda tidak boleh hanya minta perlindungan tanpa membuat laporan melalui saluran yang betul, dan menjangkakan perlindungan itu akan diberikan,” katanya kepada Malaysiakini.

“Sama seperti memohon pinjaman bank — tiada jaminan akan dapat, tetapi anda tetap perlu melalui proses yang ditetapkan.

“Dia perlu memberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan berkaitan salah laku yang didakwa, dan selepas penilaian, perlindungan boleh diberikan mengikut peruntukan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya lagi.

118b36d45a423a17d5d139e0703bee8d
Albert Tei

Semalam, peguam kepada Tei, Mahajoth Singh turut mendedahkan kepada Malaysiakini yang pegawai SPRM yang didakwa memberi amaran kepada Tei adalah individu yang memegang jawatan berautoriti tinggi.

Dia berkata Tei sedia mendedahkan identiti individu tersebut jika anak guamnya diberi perlindungan sebagai pemberi maklumat.

Ia selepas Kulasegaran menggesa Tei untuk membuat laporan kepada polis dan Jawatankuasa Aduan SPRM dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

Sebelum ini, Mahajoth berkata Tei telah pergi ke SPRM dengan maklumat mengenai skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan di Sabah, namun diberi amaran agar tidak terus bercakap tentangnya.

Tei kemudiannya mendedahkan skandal tersebut kepada Malaysiakini, dengan video dan dokumen yang didakwa membabitkan sembilan ahli politik, termasuk Speaker DUN Sabah, yang dikatakan menerima rasuah sebagai balasan untuk meluluskan lesen penerokaan mineral.

Pada 30 Jun lalu, Tei didakwa di mahkamah atas tuduhan memberi rasuah, dan SPRM menegaskan dia tidak layak menerima perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atas dakwaan terlibat dalam kesalahan yang dilaporkan.



Source link