Malaysia Oversight

MK3D Felda 2025: Usahawan desa mampu terajui landskap ekonomi negara

By MkiniBM in August 1, 2025 – Reading time 2 minute
MK3D Felda 2025: Usahawan desa mampu terajui landskap ekonomi negara


ULASAN | Saya berkesempatan hadir ke Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. Acara ini membuka ruang untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana komuniti luar bandar, khususnya warga Felda, membentuk tapak niaga yang semakin berdaya saing dan progresif.

Ketika transformasi luar bandar sering dikaitkan dengan dasar jangka panjang, MK3D 2025 memperlihatkan bagaimana kesungguhan dan penyelarasan dasar boleh diterjemah menjadi peluang nyata buat komuniti Felda dan usahawan desa.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar, penganjuran seperti ini bukan sekadar pameran produk tempatan. Ia adalah isyarat bahawa perubahan dasar dan pembangunan akar umbi boleh berjalan seiring, jika disokong dengan platform yang tepat.

Diadakan dari 30 Julai hingga 3 Ogos, Mega Karnival 3 Dimensi ini menjadi platform penting untuk menghubungkan pengeluar tempatan dengan pasaran yang lebih luas, merangkumi pembeli, pelabur dan pengedar dari dalam serta luar negara.

Lebih 600 usahawan mengambil bahagian dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian, makanan, kraf, teknologi dan perkhidmatan. Rangkaian yang terjalin di sini bukan sahaja berfungsi untuk jual beli, tetapi membuka pintu kepada kerjasama lebih besar, termasuk kemungkinan eksport dan pelaburan jangka panjang.

Antara warisan dan inovasi

Apa yang lebih penting, MK3D mempamerkan perubahan sikap dan hala tuju dalam kalangan usahawan Felda. Mereka bukan lagi sekadar pelaksana projek kecil atau penerima bantuan, tetapi pengusaha yang mula membina jenama, memahami strategi pasaran dan menguasai alat digital. Ini mencerminkan kematangan baru dalam ekosistem luar bandar yang semakin bersedia bersaing secara profesional.

Program ini turut mengetengahkan keseimbangan antara warisan dan inovasi. Produk tradisional diberikan penjenamaan semula yang moden, tanpa mengorbankan nilai budaya dan lokaliti. Di sinilah kekuatan sebenar sektor desa, apabila nilai-nilai tempatan digabung dengan kefahaman pasaran kontemporari.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah pimpinan YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya memperkukuh naratif bahawa pembangunan desa tidak seharusnya dilihat sebagai agenda pinggiran. Dengan pendekatan yang lebih bersepadu, MK3D membuktikan bahawa perancangan dasar, jika dilaksana secara bersungguh, mampu menghasilkan impak.

Felda pula menunjukkan evolusi fungsi yang ketara. Daripada sekadar pengurusan tanah dan hasil komoditi, ia kini berperanan sebagai fasilitator kepada pembangunan usahawan yang kompetitif. Usahawan generasi baharu FELDA tampil dengan pengetahuan pasaran, kefahaman perniagaan dan keyakinan diri yang tinggi.

Ketika tumpuan sering beralih kepada pergolakan politik dan perdebatan nasional, usaha seperti ini mengingatkan kita bahawa perubahan sebenar bermula dari bawah.

Kekuatan negara tidak hanya diukur melalui angka KDNK atau laporan pelaburan asing. Ia juga terletak pada keupayaan rakyat di akar umbi untuk berdikari, berinovasi dan menjana nilai. MK3D 2025 menjadi salah satu bukti bahawa dengan kerangka yang betul, komuniti desa mampu menjadi pemain yang relevan dalam landskap ekonomi semasa.


MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Source link