Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) melakukan siasatan terhadap dakwaan bahawa sebuah syarikat tidak dibayar bagi hasil kerja kreatif yang dihasilkan untuk kementerian itu, berkaitan sebuah ekspo yang sedang berlangsung di Jepun.
Dalam satu kenyataan, Miti berkata kementerian itu memandang serius perkara tersebut dan sedang mengumpul semua maklumat berhubung dakwaan yang kini tular di media sosial.
“Miti mengambil maklum terhadap dakwaan berkaitan penciptaan konsep Malaysia World Expo yang sedang tersebar di media sosial dan turut dilaporkan oleh pihak media.
“Miti kini sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengumpul dan mengesahkan semua fakta yang relevan berhubung dakwaan yang dibuat oleh seorang individu di media sosial.
“Kami memandang serius perkara ini dan akan mempertahankan semua hak undang-undang kami. Miti kekal komited terhadap tahap integriti dan pematuhan yang tertinggi dalam semua urusannya. Tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil sekiranya perlu,” kata kementerian itu.
Dakwaan tidak dibayar
Menurut laman web rasmi kementerian itu, Pavilion Malaysia adalah sebuah pameran yang mempamerkan kepelbagaian budaya serta ekonomi Malaysia yang dinamik, selain inisiatif lain seperti komitmennya terhadap pembangunan mampan dan infrastruktur digital.
Semalam, seorang usahawan, Fey Ilyas, memuat naik hantaran di Instagram mendakwa syarikatnya telah membangunkan “konsep, tema, naratif dan reka bentuk seni bina” bagi Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, yang telah bermula pada 13 April.

Menurutnya, syarikat tersebut telah membawa masuk rakan kerjasama bertaraf antarabangsa dan membantu mendapatkan kelulusan untuk penyertaan Malaysia di pentas dunia.
Namun begitu, Fey mendakwa syarikatnya tidak menerima sebarang bayaran mahupun penghargaan atas hasil kerja mereka.
“Sebagai sebuah syarikat kecil, pengiktirafan yang sewajarnya untuk projek berskala besar seperti ini mampu membina reputasi kami dan membuka pintu kepada peluang-peluang baru.
“Sebaliknya, hasil kerja kami telah digunakan tanpa sebarang kredit atau bayaran.
“Kami tidak sepatutnya terpaksa ‘merayu’ untuk dibayar atas kerja yang telah dilaksanakan, digunakan, dan dipersembahkan secara terbuka.
“Pembayaran bukanlah ihsan, ia adalah perkara paling asas. Fakta bahawa kami perlu ‘berjuang’ untuk mendapatkan bayaran sudah cukup menunjukkan betapa kurangnya penghargaan yang diberikan kepada mereka yang benar-benar melakukan kerja,” katanya dalam hantaran itu.
Dia turut mendakwa syarikatnya dinasihatkan agar berdiam diri kerana kononnya tindakan bersuara boleh menjejaskan peluang untuk mendapatkan projek pada masa hadapan.