Seorang individu mendakwa bahawa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) telah mengambil hasil kerja keras syarikatnya dalam merekabentuk Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 di Osaka, Jepun tanpa sebarang pengiktirafan atau bayaran sewajarnya.
Dalam satu hantaran di Instagram, individu yang menggunakan nama Feythehuman mendakwa syarikatnya telah bertungkus lumus untuk projek tersebut selama kira-kira dua tahun, namun hasil usahanya telah “diambil begitu sahaja” oleh kementerian itu.
“Selama lebih dua tahun, kami bersabar. Bertindak secara profesional. Berdiam diri.
“Kami membangunkan konsep, tema, naratif, dan reka bentuk seni bina bagi Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka.
“Kami membawa masuk rakan kerjasama bertaraf dunia, membantu mendapatkan kelulusan, dan membentuk asas kehadiran Malaysia di pentas antarabangsa,” tambahnya.
Menurut laman web rasmi kementerian itu, Pavilion Malaysia adalah sebuah pameran yang mempamerkan kepelbagaian budaya serta ekonomi Malaysia yang dinamik, selain inisiatif lain seperti komitmennya terhadap pembangunan mampan dan infrastruktur digital.
Pameran tahun ini diadakan di Osaka, Jepun — dari 13 April hingga 13 Oktober.
Meluahkan kekecewaannya, pengguna Instagram itu berkata sebagai syarikat kecil, pengiktirafan bagi projek sebesar itu akan membantu mengukuhkan portfolio mereka dan membuka peluang baru.
Feythehuman turut mendakwa dia telah dinasihatkan untuk berdiam diri berhubung dakwaan itu, dengan alasan bahawa tindakan bersuara mungkin menjejaskan pertumbuhan syarikat mereka.
“Tetapi kami memilih untuk bersuara. Kerana maruah lebih penting daripada nak mencari peluang.
“Dan kerana berdiam diri hanya melindungi mereka yang terus melakukan perkara ini terhadap orang lain,” katanya lagi.
Feythehuman berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya merayu untuk dibayar atas kerja yang telah disiapkan dan dibentangkan secara terbuka, sambil menambah bayaran itu adalah perkara asas, bukannya berbentuk ihsan.
“Hakikat bahawa kami terpaksa berjuang untuk perkara ini menunjukkan betapa rendahnya penghargaan mereka terhadap orang yang benar-benar menjalankan kerja tersebut,” katanya
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk mendapatkan maklum balas.