Malaysia Oversight

Misi Global Sumud Flotilla masuk zon kuning malam ini

By Utusan in September 29, 2025 – Reading time 2 minute
Misi Global Sumud Flotilla masuk zon kuning malam ini


SEPANG: Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam misi menghantar bantuan ke Gaza dijangka memasuki zon kuning kira-kira pukul 9.18 malam ini (waktu Malaysia).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (Mapim), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, secara tepatnya, konvoi itu berada sekitar 21 batu nautika ke zon itu yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre berkata, ketika ini, konvoi berada sekitar dalam 366 batu nautika daripada pesisiran Gaza.

“Setakat ini juga, tiada laporan aktiviti dan ancaman dron dilaporkan semalam dan kesemua delegasi Malaysia dilaporkan berada di dalam keadaan sihat dan baik.

“Zon kuning bukanlah kawasan yang dijangkakan untuk dipintas oleh Zionis kerana ia masih perairan antarabangsa kecuali zon merah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, jika konvoi itu dipintas di kawasan zon kuning, mereka masih berada dalam keadaan dan lokasi yang tidak boleh dipersalahkan.

Sany Araby berkata, pihaknya menjangkakan konvoi itu dijangka memasuki zon merah atau perairan Gaza pada Khamis ini.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan misi bakal berdepan dengan sedikit kelewatan kemungkinan akibat cuaca tidak elok.

“Saya ingin menafikan ramalan yang dibuat di luar sana bahawa kapal ini akan masuk perairan Gaza esok hari.

“Saya faham bahawa ada banyak pendukung-pendukung yang membuat analisa tersendiri tetapi kita mohon untuk dapatkan maklumat yang tepat dan semasa daripada kami,” katanya.

Ditanya sama ada dua kapal perang Itali dan Sepanyol akan teruskan perjalanan ke zon kuning bagi melindungi misi itu, Sani Araby berkata, beliau tidak mendapat maklumat bahawa kedua-dua kapal itu berundur atau menarik diri.

“Setakat sekarang ni, mereka tidak buat keputusan untuk berundur. Mereka hanya maklumkan yang mereka masih bersama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sani Araby juga mengesahkan hanya 46 kapal meneruskan misi berkenaan selepas sebuah kapal pemantau, Johnny M telah rosak akibat enjin dimasuki air.

Bagaimanapun, katanya, kesemua peserta dalam kapal itu dipindahkan ke kapal lain termasuk enam peserta dari Malaysia.

“Johnny M tidak dapat meneruskan misi pelayaran lagi justeru daripada 47 kapal yang kita ada, kini tinggal 46 kapal,” katanya. – UTUSAN





Source link