KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) memperluas jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan mengadakan lawatan empat hari ke Myanmar bermula 18 Oktober lalu.
Timbalan Presiden MiSHA, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar yang mengetuai delegasi persatuan itu berkata, lawatan berkenaan juga bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) serta pembangunan pendidikan dan latihan teknikal (TVET) di rantau Asia Tenggara.
“Lawatan rasmi ini menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh jaringan kolaborasi MiSHA di rantau Asia Tenggara. Kerjasama seperti ini bukan sekadar pertukaran kepakaran, tetapi satu usaha membina jambatan ilmu antara negara bagi memperkukuh budaya pencegahan dan keselamatan di tempat kerja.
“Myanmar menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan tenaga kerja selamat, produktif, dan berdaya saing. MiSHA akan terus memainkan peranan aktif dalam memperluas program latihan, penilaian dan anugerah KKP di peringkat antarabangsa, selaras dengan visinya menjadikan Asia sebagai rantau yang mengamalkan Zero Harm, Shared Responsibility,” katanya.
Delegasi MiSHA turut disertai Setiausaha Kehormatnya, Mohamad Abdullah Sahri dan Bendahari MiSHA, Saiful Tarmaji.
Sementara itu, MiSHA dalam kenyataannya memaklumkan, sepanjang lawatan tersebut, delegasi persatuan berkenaan disambut oleh WSH Myanmar, iaitu sebuah organisasi terkemuka dalam bidang latihan serta perundingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara berkenaan.
Menurutnya, organisasi di bawah seliaan kerajaan Myanmar itu aktif membangunkan budaya keselamatan kerja dan kapasiti tenaga kerja tempatan melalui WSH Myanmar Institute of QSHE (Kualiti, Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran).
“Institusi ini turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta bagi memperkukuh sistem keselamatan pekerjaan serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam aspek KKP,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, delegasi MiSHA berkunjung ke Myanmar Private TVET Association (MPTA) dan TVET Development Institute bagi membincangkan pembangunan kurikulum latihan yang menekankan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Katanya, dalam sesi perkongsian tersebut, MiSHA membentangkan pembangunan modul KKP dalam kurikulum TVET, yang bakal dijadikan rujukan oleh pihak MPTA dan TVET Development Institute bagi melahirkan graduan teknikal yang bukan sahaja mahir dalam kemahiran teknikal tetapi mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek keselamatan di tempat kerja.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen MiSHA dalam memperkukuh budaya pencegahan dalam pendidikan teknikal di rantau ASEAN,” katanya.

Sementara itu, katanya, dalam rangka lawatan tersebut, delegasi MiSHA mengadakan kunjungan rasmi ke Myanmar DECO-TBSP Special Products Co. Ltd., iaitu penerima MiSHA Asia Country Award on OSH Principles of Prevention 2025 bagi mewakili Myanmar.
“Daripada 12 syarikat yang dicalonkan oleh WSH Myanmar, hanya tiga syarikat ke peringkat akhir selepas proses penilaian dalam talian dan verifikasi di tapak. Berdasarkan penilaian menyeluruh yang dikendalikan oleh pasukan juruaudit MiSHA, Myanmar DECO-TBSP dinobatkan sebagai pemenang dan mewakili Myanmar di peringkat MiSHA Asia Excellence Award on OSHPoP 2025,” katanya. – UTUSAN






