Malaysia Oversight

‘Minyak botol’ dijangka tetap rancak

By MkiniBM in September 30, 2025 – Reading time 4 minute
‘Minyak botol’ dijangka tetap rancak


Penjualan petrol botol atau juga dipanggil ‘minyak botol’ tidak begitu popular di bandar-bandar utama sekitar Lembah Klang, namun jualan petrol runcit secara kecil-kecilan itu meluas di kawasan pinggir bandar, kampung dan pedalaman negeri-negeri tertentu.

Bagaimanapun di Tinjauan Malaysiakini di , penjualan petrol botol dilihat begitu meluas malah menjadi tradisi sejak sekian lama bahkan mendapat permintaan menggalakkan dalam kalangan pengguna setempat.

Susulan pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95) yang diumumkan , timbul persoalan mengenai sejauh mana kelangsungan penjualan petrol botol oleh peruncit.

Walaupun salah di sisi undang-undang negara kerana ketiadaan permit dan protokol keselamatan, kewujudan penjualan petrol botol oleh peruncit di sekitar negeri Cik Siti Wan Kembang khususnya sudah menjadi rahsia umum. 

Secara asasnya, seseorang peniaga kedai runcit akan membeli sejumlah petrol (RON95) dalam kuantiti tertentu daripada stesen-stesen petrol.

Kemudian, petrol tersebut akan diisi semula dengan sukatan tertentu, kebiasaannya menggunakan botol kaca atau plastik yang saiznya boleh mengisi kira-kira 500 mililiter (ml) hingga seliter petrol.

Ia akan dijual dengan harga antara RM2 hingga RM4 sebotol bergantung isipadu petrol berkenaan.

Pembelian petrol botol ini sebenarnya merugikan pengguna berbanding belian secara terus di stesen-stesen minyak kerana harga ditawarkan lebih mahal.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa kedai runcit sekitar daerah Kota Bharu dan Bachok mendapati, sebotol petrol dengan sukatan 500ml dijual dengan harga RM2.

8a45dfb08acdd4cec897f4f1af004373

Bagi isian botol seliter pula dijual dengan harga RM4, menyaksikan jurang yang besar berbanding harga bersubsidi yang dijual di stesen petrol.

Seorang peniaga kedai runcit ketika ditanya sama ada akan meneruskan jualan petrol botol susulan pelaksanaan Budi95 berkata, dia mungkin akan teruskan seperti biasa selagi ada permintaan.

Peniaga berusia dalam lingkungan usia 50-an yang enggan didedahkan namanya itu menjelaskan, penjualan petrol botol adalah inisiatif untuk membantu penduduk setempat mendapatkan bekalan petrol dengan lebih mudah.

Ini kerana katanya, jarak untuk penduduk keluar membeli di stesen petrol agak jauh.

“Yang beli petrol botol ini orang setempat, yang biasanya aktiviti harian mereka sekitar dalam kampung atau kampung berdekatan saja.

“Orang-orang tua yang cuma bermotosikal untuk ke masjid, ke kedai kopi, atau berkebun. Ada juga yang guna untuk aktiviti lain seperti mesin rumput. Biasanya pengguna motosikal saja,” katanya yang menyediakan jualan itu sejak 20 tahun lalu.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Hamidah, 58, berkata penjualan petrol botol selepas ini mungkin lebih meluas memandangkan pengguna dikenakan syarat tertentu untuk pembelian RON95.

0f8baa6e4c5264f868e20ab8304553a8

Katanya, individu yang tidak mempunyai lesen kenderaan mungkin akan memilih pembelian secara botol bagi isian motosikal.

“Lagi pula pembelian petrol bersubsidi ini dihadkan 300 liter sebulan bagi setiap orang. Jadi bergantung kepada pembelian mereka juga. Kalau di kawasan kampung seperti di sini (Kota Bharu), petrol botol mungkin terus menjadi pilihan pengguna setempat.

“Cuma saya sebagai peniaga (setakat ini) tak pasti lagi jika boleh buat belian dengan kuantiti banyak untuk dijual semula. Mungkin saya boleh gunakan kuota 300 liter untuk beli dan jual semula, atau mungkin juga beli RON95 dengan harga tanpa subsidi,” katanya.

Semakan Malaysiakini mendapati penjualan petrol isian botol juga dijual di beberapa negeri seperti Perak, Kedah, Terengganu dan Pahang, khususnya di kawasan pedalaman yang kurang terdapat kemudahan stesen petrol berdekatan.

Selain itu, semakan Malaysiakini mendapati penjualan petrol botol turut popular di kawasan pulau termasuk destinasi pelancongan. Antaranya seperti di Pulau Tioman (Pahang), Pulau Tuba (Kedah) dan Pulau Perhentian (Terengganu).

Sukar dibendung

Dalam perkembangan itu Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusoff mengakui penjualan petrol botol sukar dibendung atas faktor tertentu khususnya ketiadaan kemudahan stesen petrol dalam sesuatu kawasan penempatan.

“Penjualan petrol isian botol ini sebenarnya memberi kemudahan terutamanya untuk penduduk setempat di kawasan yang sukar atau jauh daripada stesen petrol.

“Dengan pelaksanaan Budi95 ini, kita lihat penjualan petrol botol akan terus berlaku. Sekarang ini seorang pengguna yang layak dihadkan membeli 300 liter sebulan, jadi mungkin peniaga akan guna kuota sendiri dan jual balik dengan isian botol melebihi harga pasaran,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

4558ba561a188203d87f958d721b508c
Yusrizal Yusoff

Tambah Yusrizal, sekiranya pihak berkuasa mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka, perlu pastikan penduduk kawasan berkenaan mempunyai akses sesuai untuk mendapatkan bekalan petrol.

“Kita nak menidakkan penjualan petrol botol ini pun tak boleh, sebab ia memudahkan penduduk setempat dapatkan bekalan petrol, walaupun terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal,” katanya.

Permintaan dari pedalaman

Sementara itu Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan, Institut Keusahawanan Universiti Malaysia (UMK), Mohd Safwan Ghazali pula berpendapat penjualan petrol botol dijangka masih rancak pada peringkat awal pelaksanaan Budi95.

Jelasnya ia mengambil kira faktor seperti jawak ke stesen petrol, keperluan segera dan kuota 300 liter yang mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah pengguna.

“Walaupun dasar ini menutup ruang ketirisan besar, aktiviti kecil seperti penjualan petrol botol tetap wujud kerana permintaan rakyat bawahan khususnya di kawasan pedalaman.

“Justeru, realitinya tiada perubahan ketara akan berlaku, melainkan wujud penguatkuasaan yang tuntas serta penyediaan alternatif sah seperti pam mini berlesen, kios komuniti dan pam bergerak.

“Hanya dengan kombinasi kawalan dan penyelesaian praktikal inilah Budi95 akan benar-benar mencapai matlamat di lapangan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

c1d52d396ccf82c41bc6189774d8e728
Mohd Safwan Ghazali

Tambah Mohd Safwan, jika diperhalusi realiti di lapangan faktor jarak, kemudahan membeli dengan kuantiti kecil dan keperluan mendesak menjadikan penjualan itu wujud sebagai ‘pasaran alternatif’.

“Dari surut perundangan, jualan semula petrol isian botol tidak dibenarkan kerana ia barang kawalan dan mempunyai risiko keselamatan yang tertakluk dalam Akta Kawalan dan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Namun, kerana keperluan mendesak kepada kumpulan rakyat tertentu yang tidak mendapat akses serta memenuhi fungsi pasaran – walaupun kecil- ia tetap beroperasi,” jelasnya.

Mohs Safwan menyifatkan situasi berkenaan sebagai paradoks yang wujud di sebalik usaha memperkenalkan Budi95 untuk menutup ruang ketirisan.

Di sisi lain katanya, realiti pasaran di lapangan masih menunjukkan adanya kebocoran melalui jualan petrol isian botol.

“Walaupun nilainya tidak sebesar penyeludupan rentas sempadan, ia tetap menyumbang kepada kehilangan kecekapan ekonomi dan ruang fiskal negara. Maka, Budi95 boleh dilihat sebagai satu pemangkin untuk kerajaan mencari mekanisme baru menggantikan pasaran tidak formal ini,” katanya.



Source link