Malaysia Oversight

Minnesota saman pentadbiran Trump bantah kerahan ejen ICE

By Utusan in January 13, 2026 – Reading time 2 minute
Minnesota saman pentadbiran Trump bantah kerahan ejen ICE


MINNESOTA: Minnesota memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Donald dalam usaha menyekat peningkatan penempatan ejen imigresen persekutuan di negeri itu.

Saman itu berhujah penempatan tersebut umpama pencerobohan persekutuan yang tidak berperlembagaan.

Peguam Negara Minnesota, Keith Ellison berkata, operasi imigresen itu mengganggu kehidupan jutaan orang serta mencetuskan kekacauan dan keganasan.

Tindakan undang-undang itu difailkan susulan insiden minggu lalu di Minneapolis, apabila seorang wanita, Renee Good, 37, ditembak mati oleh seorang ejen imigresen, yang mencetuskan bantahan besar-besaran di bandar tersebut.

Melalui saman itu, Minnesota memohon mahkamah persekutuan mengisytiharkan penempatan ejen berkenaan sebagai tidak sah di bawah undang-undang. Pentadbiran pula menyifatkan tindakan undang-undang tersebut sebagai tidak berasas.

Pentadbiran menegaskan ejen tersebut menyasarkan pendatang tanpa izin, dan pasukan tambahan diperlukan bagi memastikan keselamatan mereka semasa operasi dijalankan.

Dalam sidang media pada Isnin, Ellison berkata penempatan itu melanggar kedaulatan negeri untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan setiap individu yang tinggal dalam sempadan mereka.

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, mendakwa ejen persekutuan secara tidak sah menyasarkan individu yang dianggap sebagai pendatang berdasarkan pemprofilan kaum.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan peningkatan panggilan kecemasan 911 dan memaksa polis bandar bekerja lebih masa bagi menyiasat insiden melibatkan Perkhidmatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE).

“Penempatan ribuan ejen persekutuan bersenjata, bertopeng dan kurang terlatih secara menyalahi undang-undang ini menjejaskan Minnesota,” kata Ellison.

Beliau turut menuduh pentadbiran Trump menganiaya Minnesota kerana pandangan politik mereka. Parti Demokrat kini memegang jawatan gabenor dan menguasai badan perundangan negeri itu.

“Keith Ellison dengan jelas menunjukkan hari ini bahawa beliau mengutamakan politik berbanding keselamatan awam,” kata Tricia McLaughlin dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

“Ini adalah saman yang tidak berasas, dan kami menantikan untuk membuktikannya di mahkamah,” tambahnya.

Dalam sidang media sama, pendakwa raya berkata mereka akan cuba mendapatkan perintah injunksi sementara daripada mahkamah bagi menyekat penempatan ejen berkenaan seawal Selasa. -BBC

 





Source link