Malaysia Oversight

Miliki cap keselamatan mencurigakan, wanita warga Indonesia ditahan di KLIA2

By TheSun in August 17, 2025 – Reading time 1 minute
Miliki cap keselamatan mencurigakan, wanita warga Indonesia ditahan di KLIA2


: Seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana memiliki cap keselamatan yang mencurigakan, semasa melalui pemeriksaan imigresen di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan awal mendapati, wanita tersebut memasuki Malaysia melalui imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.

“Namun begitu, pemeriksaan lanjut melalui Sistem MyIMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk bagi subjek sepanjang tempoh sehingga tahun ini.

Susulan itu, wanita berkenaan telah ditangkap kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan AKPS itu memaklumkan individu terbabit kini ditahan di Depot Imigresen KLIA2, sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu perkara tersebut akan disiasat lanjut bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab dan tindakan tatatertib akan diambil ke atas mana-mana pegawai yang terlibat.

AKPS juga menegaskan bahawa usaha membanteras pemalsuan dokumen perjalanan dan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen akan terus dipergiat, bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara sentiasa terpelihara- BERNAMA



Source link