Malaysia Oversight

Mikroagresi boleh jadi ancaman halus jika tak ditangani

By Utusan in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Mikroagresi boleh jadi ancaman halus jika tak ditangani


KANGAR: Di sebalik keterbukaan ruang media sosial yang menjadi wadah utama interaksi belia di negara ini, setiap pihak perlu memberi penumpuan terhadap ancaman halus yang membimbangkan membabitkan tingkah laku mikroagresi.

Mikroagresi adalah merujuk kepada sindiran, diskriminasi kecil atau ucapan yang kelihatan remeh namun sebenarnya memberi kesan atau impak mendalam terhadap mangsa.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hampir 80 peratus belia di negara ini menggunakan media sosial lebih dari empat jam sehari.

Ia sekali gus menjadikan platform berkenaan sebagai ruang dominan untuk interaksi sosial, politik dan budaya.

Pensyarah Pengurusan Krisis dan Komunikasi, Asia Pacific University ofTechnology and Innovation (APU), Zaliha Idris berkata, perkembangan ini juga mendorong sebarang mesej berbentuk mikroagresi lebih mudah tersebar dan memberi pengaruh kepada sikap serta persepsi belia terhadap isu sensitif seperti kaum, agama mahu pun institusi negara.

“Isu ini memberi kesan besar kepada pembentukan identiti belia dan ia tidak boleh dipandang ringan. Walaupun ia bukan serangan fizikal, kesan psikologinya boleh mencetuskan perpecahan sosial malah jika dibiarkan mampu menjadi pencetus krisis sosial yang lebih besar,” katanya.

Zaliha yang juga penyelidik ijazah doktor falsafah (PhD) Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, mikroagresi mungkin kelihatan kecil namun kesannya boleh meluas jika tidak ditangani segera.

Menurutnya, dengan memperkukuh literasi digital, meningkatkan kesedaran sivik dan menggalakkan komunikasi beretika, media sosial berpotensi menjadi ruang membina, inklusif serta menyatukan rakyat Malaysia demi masa depan lebih harmoni.

“Langkah terbaik dalam menangani perkara ini, antaranya dengan melalui literasi media yang lebih kukuh. Pelajar dan belia perlu diajar cara mengenal pasti, menapis dan memberi respons yang berhemah terhadap mikroagresi.

“Di universiti, bengkel kesedaran digital yang menekankan pemikiran kritikal dan etika komunikasi dalam talian adalah antara langkah terbaik untuk mendidik generasi muda agar lebih bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN





Source link