Microsoft Akhirnya Halang Israel Menggunakan Teknologi Azure Untuk Mengintip Warga Palestin
Effi Saharudin
Microsoft akhirnya menghalang Israel daripada menggunakan perkhidmatan awanan Azure mereka sekala penghujung minggu lalu menurut laporan The Guardian. Ogos lalu muncul laporan mendedahkan Azure digunakan Unit 8200 yang merupakan unit intipan tentera Israel untuk mengintip perbualan telefon warga Palestin sejak 2022 dengan data yang dikumpul kemudiannya digunakan untuk membantu melakukan serangan udara serta telah merancang operasi ketenteraan di Gaza dan Tebing Barat.
Selepas menerima tekanan, protes dan didakwa terlibat dengan genosid di Palestin, Microsoft mula melakukan siasatan menggunakan pihak ketiga. Pada ketika itu Microsoft menegaskan penggunaan Azure untuk penyimpanan fail data panggilan telefon yang diperoleh melalui pengawasan luas atau besar-besaran orang awam di Gaza dan Tebing Barat adalah dilarang oleh syarat perkhidmatan.

Dalam dokumen yang tertiris, rakaman panggilan telefon warga Palestin telah disimpan di pusat data Azure yang terletak di Belanda dan Ireland. Di pangkalan data Belanda sahaja, rakaman audio melebihi 200 juta jam disimpan dengan ia mengambil ruang simpanan 11,500 TB.
Microsoft ialah antara syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai pergerakan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (BDS) antarabangsa kerana penglibatan mereka dengan rejim Zionis yang sedang melakukan genosid secara aktif di Palestin menurut laporan rasmi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
Pergerakan BDS di Malaysia telah menyebabkan kerugian besar kepada Starbucks dan McDonald’s sehingga memaksa penutupan restoran dalam jumlah yang besar sejak boikot dimulakan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






