JOHOR BAHRU: MIC Pusat perlu menjunjung semula semangat kebersamaan Barisan Nasional (BN) dalam membina negara bangsa seperti ditunjukkan kepimpinan MIC Johor ketika ini.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO Johor, Md. Israk Abdullah berkata, Presiden MIC, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran tidak seharusnya menjadikan perbezaan pandangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai penyebab kepada perpecahan BN.
Katanya, sebarang perselisihan antara kedua-dua pemimpin itu perlu diselesaikan secara rundingan demi mencapai kemenangan bersama.
“MIC satu komponen penting dalam BN, mempunyai sejarah perjuangan yang panjang bersama UMNO dan MCA dalam membina kestabilan politik tanah air.
“Justeru, penting untuk MIC Pusat menjunjung semula semangat kebersamaan ini, seperti yang sedang ditunjukkan kepimpinan MIC Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Md. Israk, pendirian MIC Johor untuk kekal bersama BN membuktikan kerjasama baik antara kedua-dua parti dapat dicapai demi mewujudkan kerajaan yang fokus kepada kesejahteraan rakyat.
“MIC Johor telah menyatakan dengan jelas komitmen mereka untuk terus kekal bersama BN dan bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Pendirian ini mencerminkan kematangan politik, kesetiaan serta kesedaran bahawa kekuatan BN hanya dapat dibina melalui perpaduan dan konsensus. Sikap ini wajar menjadi contoh kepada MIC di peringkat Pusat,” jelasnya.
Kelmarin, Pengerusi MIC Johor, K. Raven Kumar dilaporkan berkata, MIC Johor memilih untuk terus kekal dalam gabungan BN bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang walaupun terdapat khabar angin sebaliknya.
Menurut beliau, perkara itu merupakan hasrat bukan sahaja kepimpinan MIC Johor, tetapi juga akar umbi di pelbagai peringkat susulan kerjasama baik yang terjalin antara pihaknya serta UMNO dan MCA di Johor. – UTUSAN





