Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mempersoalkan mengapa MIC berdiam diri ketika mesyuarat Barisan Nasional (BN) tetapi meluahkan rasa tidak puas hati di tempat lain.
“Kalau ada pandangan, beritahulah… jangan isi hati dipendam dalam mesyuarat tapi di luar cakap lain, tak elok macam itu,” katanya yang juga timbalan pengerusi BN itu seperti dipetik BH Online ketika menghadiri sebuah karnival di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Mohamad turut menyarankan MIC supaya berhenti mengeluarkan kenyataan di luar majlis tertinggi gabungan itu.
“Keharmonian dalam BN boleh terjejas dengan tindakan dan kenyataan seperti itu.
“Jika ada apa-apa hasrat, kemukakan kepada platform Dewan Tertinggi BN yang selama ini menjadi forum kepada semua parti gabungan dalam BN termasuk Umno dan MCA.
“Tak usahlah kita bercakap di luar, sebab kadang-kadang boleh disalah erti, maka ada baiknya pemimpin parti komponen bertemu dan berbincang menerusi Dewan Tertinggi BN.
“Itu lebih baik daripada kita bercakap di luar atau mengeluarkan pandangan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada parti sendiri,” katanya.
Baru-baru ini, empat jawatankuasa perhubungan negeri MIC meluluskan usul untuk keluar daripada BN.
Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan S Rajah berkata kepimpinan parti perlu memutuskan sama ada mahu meninggalkan BN atau tidak, dengan hujah bahawa pengerusi gabungan itu Ahmad Zahid Hamidi secara konsisten gagal mempertahankan parti komponen daripada dipinggirkan.
Di tengah-tengah rasa tidak puas hati yang memuncak daripada MIC dan MCA, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengundang kedua-dua parti itu menyertai gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung PN Azmin Ali pula menyifatkan pelawaan itu sebagai “perkembangan positif” menjelang pilihan raya umum ke-16.
Azmin berkata PN mengalu-alukan mana-mana parti politik atau individu yang menerima ideologi dan perjuangan gabungan itu “untuk membetulkan keadaan negara yang semakin meruncing.”
Semalam, Setiausaha Agung MIC S Ananthan berkata sebarang keputusan partinya dibuat demi kepentingan parti dan masyarakat India, tanpa perlu bergantung kepada MCA.
Dia menjawab persoalan sekiranya MIC akan menentukan hala tujunya bersama MCA – tanpa kehadiran Umno.