Sebarang keputusan dibuat MIC adalah demi kepentingan parti itu dan masyarakat India, tanpa perlu menunggu atau merujuk kepada MCA, kata Setiausaha Agungnya, S Ananthan.
Dia menegaskan, sebagai sebuah parti komponen BN, MIC mempunyai autonomi sepenuhnya untuk menentukan hala tuju dan pendiriannya.
“MIC adalah sebuah parti yang matang dan bebas membuat keputusan. Kami tidak memerlukan sebarang nasihat sesiapa atau membuat keputusan bersama MCA.
“Keputusan akan dibuat oleh kepimpinan MIC demi kepentingan masyarakat India dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya kepada Malaysiakini.
Ananthan berkata demikian ketika ditanya sama ada MIC akan menentukan masa depan parti itu bersama MCA tanpa kehadiran Umno.
MIC kini dilihat sebagai komponen BN yang paling lantang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Baru-baru ini, empat badan perhubungan negeri MIC telah meluluskan resolusi untuk meninggalkan BN.

Sebelum itu, Presiden MIC SA Vigneswaran pada perhimpunan parti itu di Perak menyatakan bahawa MIC bersedia berunding dengan mana-mana pihak demi masa depan parti itu dan kesejahteraan masyarakat India.
Kenyataan itu dibuat selepas Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, mendakwa parti berkenaan diketepikan oleh kerajaan perpaduan.
Sementara itu, pucuk pimpinan MCA pula lebih cenderung mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam menentukan hala tuju parti, meskipun akar umbinya menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerjasama Umno-DAP.
Mengulas lanjut, Ananthan menegaskan MIC tetap komited bekerjasama dengan semua pihak dalam kerajaan perpaduan, namun ia perlu berasaskan prinsip saling menghormati.
“Kami menghormati MCA sebagai rakan dalam BN, tetapi MIC mempunyai identiti dan agenda perjuangannya sendiri yang perlu diutamakan,” katanya.
Di tengah-tengah rasa tidak puas hati dalam MIC dan MCA, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pada Ahad lalu mengajak kedua-dua parti itu bergabung, dengan mengambil maklum kekecewaan mereka kerana tidak mempunyai wakil dalam kerajaan.
Namun, Zahid menyifatkan pelawaan Tuan Ibrahim itu sebagai bersifat peribadi serta usaha memancing komponen BN dengan tawaran yang tidak jelas.